Perubahan suasana sesebuah ruang dapur tidak akan ketara jika sekadar menukar perhiasan kecil atau tombol laci kabinet semata-mata. Sebaliknya jika mengganti atau membina kabinet baru sudah tentu menampakkan perubahan besar di ruang berkenaan. Pun begitu, tidak mungkin keseluruhan pembinaan kabinet yang menelan belanja ribuan ringgit itu ditukar ganti sesuka hati. Ini kerana lumrahnya, sesebuah kabinet dapur tahan dipakai bertahun-tahun.
Jadi bagaimanakah cara untuk mewujudkan perubahan ketara di ruang dapur?
Bagi mereka yang mudah jemu dan inginkan suasana baru, ada jalan untuk mengolah semula ruang dapur dengan hanya mengeluarkan sedikit belanja tambahan. Antaranya mengubah penampilan kabinet sedia ada, sama ada menukar daun pintu dengan yang baru atau mengecat permukaan daun pintu asal dengan warna baru. Langkah ini pastinya dapat mewujudkan suasana berbeza di ruang dapur.
Selain itu, mengambil langkah menukar warna kemasan dinding juga berupaya mencipta pemandangan baru. Jika ingin lebih menarik, cat kawasan dinding dengan corak garisan di bahagian yang sesuai.
Umumnya binaan kabinet, dinding, lantai, pintu dan tingkap adalah antara unsur yang boleh diberikan tumpuan bagi membentuk wajah baru ruang dapur.
No comments:
Post a Comment