Notification

We hereby declare, that most of the photos featured in this blog, do not belong to us except for those which have a watermark of our blog address. We would gladly remove any photos from our blog, upon notification from any parties, claiming their rights on the photos. Thank you.

Saturday 7 May 2011

Tahukah Anda? : Cat (Kemasan)

Cat

Cat ialah sejenis bahan cecair yang digunakan dalam perusahaan untuk memberi lapisan perlindungan kepada bahan-bahan kayu, besi, lepa, konkrit, batu-bata, dan lain-lain lagi. Fungsi cat ialah:

1. Melindungi bahan-bahan perusahaan seperti yang tersebut di atas daripada kerosakan-kerosakan yang disebabkan oleh keadaan cuaca, serangan serangga, pengoksidaan dan sebagainya.

2. Mencantikkan pemandangan.

3. Memudahkan proses pembersihan permukaannya.

Pada dasarnya, cat diperbuat daripada jenis pewarna dan cecair. Pewarna cat terdiri daripada oksida besi, amber, kromium, oksida zink dan lain-lain lagi. Cecair cat pula mengandungi bahan-bahan pengikat (binder) dan pelarut (thinner). Bahan pengikat berfungsi melekatkan pewarna pada permukaan yang dicat serta memberi sifat kalisan dan kelicinan. Pelarut pula berfungsi mengurangkan kelikatan cat dan memberi kesenangan kerja semasa mengecat. Pelarut yang kerap didapati adalah turpentin dan spirit putih. Mutu cat sentiasa dipertingkatkan mengikut perkembangan teknologi dan permintaan pengguna yang semakin bertambah. Kebanyakkan cat kini dikilangkan untuk digunakan terus, tidak payah dicampur dengan bahan lain. 

Jenis-jenis cat yang digunakan ialah:

Cat Minyak

Cat ini mempunyai pewarna dan cecair minyak linseed. Cat minyak menjadi kering melalui proses penyejatan pelarutnya dan pengoksidaan. Dalam proses mengecat, biasanya tiga lapis cat diperlukan iaitu lapisan asas, lapisan alas dan lapisan kemasan. Cat lapisan asas mengandungi cecair minyak linseed dan plumbum merah sebagai pewarna. Cat lapisan kemasan pula mengandungi minyak varnis, pewarna dan pelarut yang sesuai seperti turpentin. Alat-alat untuk mengecat yang sesuai ialah berus dan alat penyembur.

Cat Air atau Cat Emulsi

Cat ini mengandungi pewarna dan cecair resin tiruan, dan hendaklah dibancuhkan dengan air untuk mencairkannya semasa digunakan. Jenis cat emulsi lateks ialah cat yang diperbuat daripada getah tiruan dan perlu dicairkan dengan air apabila hendak digunakan untuk mengecat. Cat emulsi menghasilkan kemasan yang pudar. Ia sesuai digunakan untuk mengecat permukaan tembok bata dan konkrit bagi tembok dalam dan tembok luar. Pengeringannya ialah melalui sejatan dan resapan. Cat ini mudah digunakan sama ada disapu dengan berus, digelek dengan penggelek ataupun disembur. Cat lapisan alas tidak diperlukan bagi kerja baru.

Cat Distemper

Cat ini juga dikenali sebagai cat kapur. Cat ini dihasilkan dengan kapur mati dibancuhkan dengan air dan sedikit nila supaya kelihatan lebih putih. Jenis ini biasanya digunakan untuk mengecat papan siling, kadang-kala digunakan pada tembok bata dan tembok konkrit.

Cat Kegunaan Khusus

Banyak jenis cat dihasilkan khas untuk kerja-kerja yang tertentu. Antaranya ialah:

a. Cat Aluminium

Cat ini dihasilkan dengan serbuk aluminium dan cecair minyak yang cepat kering. Cat ini digunakan sebagai cat asas bagai kayu yang bergetah dan juga pada permukaan logam seperti paip air, kekuda besi dan sebagainya.

b. Cat Bitumen

Cat ini mengandungi sebahagian besarnya minyak bitumen dan ia memberi perlindungan yang berkesan kepada bahan-bahan yang mudah karat seperti besi. Ia cuma digunakan pada tempat yang keindahan pemandangannya tidak diutamakan. Cat ini berharga murah.

c. Cat Kalis Kulat

Bahan-bahan kimia yang boleh mencegah pertumbuhan kulat terkandung dalam cat jenis ini. Kegunaannya sangat berkesan dan ekonomi bagi tempat-tempat yang mengalami kelembapan.

d. Cat Tahan Api

Cat ini mengandungi ammonium fosfat. Ia digunakan untuk menambahkan sifat rintangan terhadap kebakaran pada kayu dan jenis papan yang tertentu dalam perusahaan pembinaan.







No comments:

Post a Comment

Click On Promotions!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...