Notification

We hereby declare, that most of the photos featured in this blog, do not belong to us except for those which have a watermark of our blog address. We would gladly remove any photos from our blog, upon notification from any parties, claiming their rights on the photos. Thank you.

Saturday 2 July 2011

Tahukah Anda? : Jenis-jenis Tangga Di Kediaman

Tangga

Tangga adalah sebahagian yang penting dalam pembinaan bangunan. Ia membolehkan perhubungan atau laluan turun-naik yang mudah di antara satu tingkat dengan tingkat yang lain di dalam sesebuah bangunan. Pembinaan tangga mengandungi beberapa anak tangga yang dibina dalam satu larian terus atau mempunyai beberapa larian yang diselangi dengan pelantar. Pilihan jenis tangga yang sesuai untuk sesuatu keadaan bergantung kepada beberapa faktor, iaitu:

1. Adakah kegunaan tangga untuk rumah kediaman atau bangunan awam?
2. Ruang bukaan bagi tangga yang dibina.
3. Ukuran naik dan curam yang dikehendaki.
4. Rekabentuk yang paling berkesan dan ekonomi.

Pembinaan tangga dapat dibahagikan kepada EMPAT jenis utama, iaitu:

   a. Tangga Larian Lurus
   b. Tangga Suku Pusingan
   c. Tangga Separuh Pusingan
   d. Tangga Geometri


a. Tangga Larian Lurus

Tangga larian lurus meliputi satu deretan anak tangga yang menghubungkan dari satu tingkat ke tingkat yang lain dalam satu arah. Untuk tangga larian lurus yang terlalu panjang boleh diputuskan dengan pembinaan pelantar perantaraan supaya mendapatkan deretan anak tangga yang lebih senang dan selesa didaki. Penggunaan tangga lurus memberikan rupa bentuk yang paling mudah dan murah dalam pembinaan tangga.


Tangga Larian Lurus Diperbuat Daripada Kayu


b. Tangga Suku Pusingan

Tangga ini meliputi dua deretan anak tangga yang meningkat dari lantai bawah ke lantai atas dengan pelantar yang membelok sejauh 90 ̊ (suku pusingan) di pertengahannya. Penggunaan tangga suku pusingan amat sesuai untuk ruang bukaan tangga yang terhad di mana tangga larian lurus tidak dapat digunakan.


Tangga Suku Pusingan


c. Tangga Separuh Pusingan

Tangga ini meliputi dua deretan anak tangga meningkat dari lantai bawah ke lantai atas dengan pelantar yang memusing melalui 180̊ (separuh pusingan) di pertengahannya. Kedua-dua deret anak tangga adalah selari. Susunan anak tangga di lantai atas biasa berakhir di atas titik permulaan pada lantai bawah. Ini akan menghasilkan bilangan anak tangga yang sama untuk kedua-dua deretan tangga ini. Penggunaan tangga separuh pusingan amat sesuai sebagai tangga awam, terutamanya sebagai tangga kecemasan untuk bangunan-bangunan pejabat yang bertingkat-tingkat.



Tangga Separuh Pusingan

d. Tangga Geometri

Tangga ini meliputi satu deretan anak tangga berterusan yang disusun mengelilingi tupang tengah menjadikan satu tangga keliling. Pembinaan tangga keliling memerlukan kawasan lantai kecil tetapi kegunaannya adalah terhad kerana ia tidak sesuai untuk memindahkan barang-barang besar seperti perabot disebabkan kesempitan anak tangga ini.


Reka Bentuk Tangga Geometrikal


Tangga Elips di Kediaman Mewah


Tangga elips pula mempunyai rekabentuk yang menarik, ia digunakan sebagai tangga masuk utama bagi bangunan mewah.

Tangga Elips Konsep Kolonial


Tangga boleh dibina daripada bahan-bahan seperti kayu, konkrit atau logam dan dikemaskan dengan kayu, batu-bata, konkrit dan lain-lain bahan yang sesuai.

Friday 1 July 2011

PERCUMA: Tips Santai Untuk Kediaman

* Kusyen

Kerusi tanpa pelapik atau bench kosong adalah perabot yang sesuai untuk diletakkan kusyen. Kusyen pelbagai motif dan warna memberikan karakter pada perabot yang kosong. Ia juga menambahkan praktikali perabot disamping menambahkan keselesaan kepada penghuni kediaman. Cuba fabrik yang ceria dan tidak digunakan pada mana-mana sudut di kediaman anda untuk menyuntik kesan ekstra.




Kusyen rotan untuk konsep tropika


Kusyen pelapik kerusi


** Potret Keluarga

Sekeping foto menyimpan 1000 cerita. Ia secara tidak langsung menunjukkan kediaman tersebut adalah milik anda dan keluarga anda. Potret pelbagai saiz biasanya diletakkan di atas meja, dinding dan almari pameran. Untuk menggelakkan ia daripada bersepah-sepah di atas meja konsol atau meja sudut anda, wujudkan satu ruang khas dan pilih foto yang benar-benar memberikan erti ketika anda memandangnya. Cari satu ruang yang boleh memberi 'focal point' dan pamerkan foto-foto ini dalam bingkai atau alas dinding yang seragam.

Pelbagai bentuk bingkai gambar untuk menghiasai gambar keluarga anda

Kreativiti dalam membingkaikan gambar keluarga anda


*** Permaidani

Kemasan permaidani yang longgar pada ruang akan memberikan kesan kasual. Ia berupaya memberikan watak dan menutupi lantai yang membosankan dengan motif-motif yang menarik.

Kepelbagaian dalam pemilihan permaidani boleh memberi karakter kepada ruang kediaman


**** Cahaya

Cuaca dan keadaan berbeza memerlukan kesan cahaya yang berbeza. Untuk itu, apa kata anda beralih kepada lampu yang boleh dilaraskan kekuatan cahayanya untuk memberikan kesan berbeza. Untuk kesan yang lebih 'cozy', anda boleh memilih menggunakan mentol yang mempunyai kuasa rendah.

Cahaya dan bentuk lampu yang digunakan bisa menceriakan ruang rehat

Cuba gunakan beraneka bentuk lampu di kediaman untuk mempamerkan kreativiti anda

Thursday 30 June 2011

Tahukah Anda? : Gerbang Pelengkap Struktur Seni Bina

Struktur dekoratif pada kediaman kini semakin popular melengkapkan seni bina sesebuah kediaman. Binaan gerbang adalah bukaan yang mendefinisikan sesuatu struktur atau reka bentuk. Kehadirannya mampu mengubah pandangan dan membentuk ilham seni bina serta karakter pada kediaman. Kelainan reka bentuk, keunikan pilihan material dan kesempurnaan gaya yang ditampilkan pastinya mengundang kehebatan yang diimpikan.

KETAHUI FUNGSI REKAAN GERBANG:

1. Struktur dekoratif untuk menutup bentuk 'beam' atau gelegar konkrit pada struktur binaan.

2. Menyambungkan dua ruang dan membuka laluan yang selaras dengan kadar kapasiti pengguna di dalam sesebuah ruang.

3. Dibina pada bahagian puncak sekitar 9 kaki - 10 kaki tinggi. Saiz tinggi ini adalah berdasarkan ketinggian dinding dan ditolak dengan saiz gelegar.

4. Reka bentuk gerbang mampu membentuk imej dan karakter bangunan serta ilham budaya seperti Islamik, Spanish, China, Mediterranean, Indian, Melayu, Inggeris dan lain-lain.

5. Pengunaan bahan lain seperti bata muka elok (bata hias), kayu dan lain-lain boleh diaplikasi sebagai penghias 'beam'.


PILIH GAYA ANDA

a. Penampilan Rustik dan Berseni

Sesekali mencuba kelainan pasti mencipta kehebatan pemandangan dekorasi dan reka bentuk kediaman. Bagi anda yang gemarkan kelainan, malah ingin tampil dengan rekaan gerbang berciri rustik, apa kata menjadikan rekaan ini sebagai inspirasi untuk mengindahkan kediaman.

* Gandingan material batu palimanan dan kayu adalah elemen rustik yang diperlukan.
* Pengunaan bahan-bahan natural dan mempunyai tekstur yang kasar mendefiniskan rekaan gerbang berciri rustik. Kombinasi dengan kayu yang mempunyai ira halus sangat bertepatan dengan rekaan ini.
* Penampilan rustik dan berseni ini sesuai berada antara ruang utama dan ruang makan, bagi memberi fokus dari arah pintu masuk.
* Sekiranya anda inginkan kelainan, reka bentuk gerbang ini tidak terhad kepada rekaan segi empat sahaja, anda boleh memilih untuk rekaan berbentuk bulat atau melengkung.

Gerbang Rustik dan Berseni


b. Ringkas Bergaya Tropika

Bila bercakap mengenai nilai urban, elemen seni dan garisan tidak pernah lepas lari daripada unsur yang menguatkan konsep tersebut. Malah seri dekorasi 'fusion' seperti ini cukup gah dan artistik. Bagi yang mempunyai citarasa tinggi pilihan gerbang yang ringkas sudah cukup kuat untuk menyerlahkan idea rekaan ruang.

* Bentuk empat segi yang diperkemaskan dengan struktur kayu.
* Selalunya menggunakan kayu cengal, resak atau jati jika mampu.
* Bersifat mesra ruang kerana memberi bukaan yang luas dan lebar serta tinggi.
* Bentuk visual seperti berada di dalam dua ruang yang cukup luas.


Gerbang yang mewujudkan suasana konsep tropikal

Gerbang di kediaman konsep moden

c. Sentuhan Eropah

Memasak dan menghidang dua kerja yang cukup remeh. Membawa hidangan ke ruang makan juga adakala cukup memenatkan. Pereka sejak zaman dahulu lagi telah melakarkan ilham untuk mempercepatkan kerja di dapur. Gerbang kecil yang seragam dengan semua gerbang utama sebenarnya menambah kehebatan seni bina kediaman. Keserasian dengan ruang dan memberi imej kedesaan Eropah yang 'comel'.

* Penggunaan bata muka elok rona jingga (bata hias).
* Selalunya digunakan pada ruang dapur berkonsepkan kedesaan Inggeris.
* Bentuk lengkung yang tidak keterlaluan memberi kesan pandang terus antara dua ruang, terutama ruang makan dan ruang dapur, atau ruang keluarga dan ruang makan.


Pastikan konsep hiasan dan gerbang yang ingin anda bina adalah selari


d. Era Kolonial

Bila diingatkan pada masa lalu, pereka cukup mementingkan kekuatan sesebuah seni bina. Faktor ini adalah kesan daripada peperangan dan tidak mahu sesebuah bangunan itu lenyap sebelum waktunya. Imbasan seni bina era Medieval dan Kolonial cukup kuat pengaruhnya di kalangan pereka. Di mana sahaja struktur ini akan diterapkan pada sekolah, gereja, hospital dan bangunan kerajaan. Namun kini ia boleh diaplikasikan di kediaman peribadi.

* Mendapat pengaruh gereja sekitar era kolonial.
* Strukturnya yang berlapis menampakkan binaan yang gah dan tegap.
* Peruntukan untuk membinanya melibatkan kos yang besar kerana struktur dan perinciannya yang halus, merangkumi pemilihan bata, lepaan konkrit dan kemasan berkualiti.
* Pilihan warna adalah putih, yang melambangkan era tradisional kolonial.






e. Moden Citarasa Kontemporari

Kekemasan ruang sebenarnya bermula daripada struktur seni binanya. Era 1940-an merupakan antara elemen rekaan yang semakin mendapat tempat di kalangan peminatnya. Binaan kayu yang dikenakan dengan kualiti kayu yang sama sememangnya menyerlahkan lagi nilai sesebuah ruang. Apatah lagi apabila gerbang turut dibalut dengan kemasan kayu mewah. Pastinya akan tampak hebat dan mengagumkan.

* Binaan gerbang ini adalah bertujuan untuk menutup 'beam' agar ruang tampil lebih kemas dan penampilan siling lebih menyerlah.
* Berfungsi untuk menghubungkan dua ruang utama dan memberikan keseragaman pada dekorasi.
* Pemilik tidak perlu meletakkan pemidang di antara dua ruang ini kerana struktur binaan sudah cukup menarik untuk membentuk karakter ruang.




f. Pengaruh Seni Bina Islamik

Seni bina bercirikan Islamik mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Rekaan yang penuh makna bukan sahaja mesra ruang tetapi menaikkan nilai estetika serta fungsi ruang sedia ada. Selain mudah dibina, penampilan ciri-ciri seni bina Islamik juga boleh diselaraskan dengan apa saja konsep pilihan anda. Nilai yang tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.

* Gerbang berbentuk Islamik ini memberi bukaan dengan lengkungan setengah bulatan penuh yang sempurna.
* Penampilan kubah atau gerbang seperti ini menjadikan ruang lebih gah dan hebat kerana rekaan ini hanya didapati pada struktur seni bina bangunan-bangunan besar seperti masjid dan colloseum.
* Bersifat mesra ruang kerana kedudukan dan lengkungannya yang tinggi.
* Sebagai pelengkap, rekaan ini boleh dipadankan bersama tiang roman atau ukiran konkrit untuk penampilan lebih menawan.







Wednesday 29 June 2011

PERCUMA: Tips Pengaruh Warna Cadar

Warna Pengaruhi Tidurmu.....

Bilik tidur adalah satu sudut yang penting dalam rumah anda. Ia adalah balasan kepada diri selepas seharian bekerja. Seharian berada di ruang lain, manjakan diri di bilik tidur. Pemilihan warna pada bilik tidur memberikan kesan terutama sekali kepada fungsi utama bilik tidur sebagai tempat beradu melepaskan lelah. Ikutilah tips berikut mengenai pilihan warna di bilik tidur anda.

(O1) Warna Pastel

Kalau warna cerah lantang berkata-kata, warna pastel dikenali sebagai warna pendiam dan damai. Bersemangat dan tenang, berupaya merawat keserabutan di fikiran. Warna pastel adalah warna cerah yang telah dilembutkan. Di bilik tidur, warna-warna pastel sesuai digandingkan dengan warna-warna cerah untuk nampak segar. Untuk gaya sofistikated, aksesori warna gelap boleh digandingkan bersama.

Supaya lebih feminin pula, campurkan ia dengan corak-corak jalur terang dan perabot moden. Warna sejuk dan pastel mampu membuatkan ruang kelihatan besar, lega dan bernafas. Ia boleh memberikan kesan kecerahan pada bilik tidur yang menggunakan perabot gelap.

Pilihan cadar dari warna pastel
Cadar rona pastel dan bercorak


(O2) Warna Cerah

Ia dikatakan nuansa yang menggoda dan optimis. Warna cerah seperti merah, fuchsia jingga daripada skim warna sitrus pada cadar boleh digunakan untuk memberikan karakter pada bilik. Ia umpama satu penegasan kepada bilik agar tampak bertenaga dan ceria. Tenaga dalam warna ini mampu memberi aura semangat untuk terus berjuang dalam hidup. Jika cadar yang mengalas tidur daripada rona cerah, apa kata gandingkan dengan warna-warna pastel atau warna neutral supaya penampilan seimbang dan tidak terlalu keras.



(O3) Warna Neutral Dan Bumi

Kalau warna garang membakar suasana, warna neutral pula memberi mood nyaman. Berempah, nuansa gelap dan neutral ini memberikan kesan dramatik. Rona-rona seperti coklat gelap, ungu gelap, maroon atau biru gelap memberikan dimensi yang berlainan kepada bilik tidur. Selain memberi karakter kepada ruang. Ia juga boleh memberikan kesan kepada ruang yang luas agar lebih menyempit. Helah ini berkesan untuk menyembunyikan ruang yang terlalu luas.

Rona Bumi
Cadar rona gelap

Cadar rona gelap dan berjalur

Tuesday 28 June 2011

PERCUMA: 10 Tips Dekorasi Bilik Tidur

o1. Seelok-eloknya, jarak antara sisi kiri dan kanan dari katil adalah sekurang-kurangnya dua kaki hingga satu kaki sembilan inci lebar. Ini membenarkan anda menempatkan kabinet sisi dan pergerakan yang lain, selain memberi ruang pada pintu almari ketika dibuka.

Pastikan terdapat ruang untuk sebarangan pergerakan dan aktiviti di sekitar katil anda


O2. Jika anda seorang yang gemar membaca sebelum tidur, pilih lampu meja agak tinggi yang terendaknya hampir sama paras dengan kedudukan tangan anda semasa membaca.

Gemar membaca sebelum tidur? Pastikan anda menyediakan pencahayaan yang cukup


O3. Elakkan memilih terlalu banyak lampu terutama daripada jenis mentol kerana ia akan menjadikan kamar anda agak panas dan kurang selesa.

O4. Perabot sedondon ada kala membosankan. Seperti ruang tamu, kamar akan lebih kelihatan lebih bersahaja jika suai padan di dalam konsep yang sama dilakukan.

Pastikan penataan ruang kamar anda mendamaikan dan memberi keselesaan untuk anda berehat


O5. Kemasan lembut banyak membantu mencantikkan ruang. Sekiranya anda inginkan corak flora, cubalah corak yang mempunyai latar belakang putih. Bunga yang terhasil akan kelihatan lebih bermaya dan tidak terlalu menyesakkan mata.

O6. Adalah lebih elok jika anda menyediakan enam hingga lapan buah bantal bagi sebuah katil yang agak besar bagi mendapatkan keselesaan.

O7. Pastikan anda memilih bantal yang bersesuaian dengan karakter tidur anda. Jika anda gemar tidur terlentang, pilih bantal yang agak lembut dan mempunyai kontor lengkuk leher dan kepala. Manakala jika anda gemar tidur mengereng cari bantal yang agak keras dan mampu memberi sokongan terhadap kedudukan kepala yang menerima tekanan yang agak tinggi di posisi ini.

O8. Sama ada katil besi atau kayu, kepala katil merupakan teraju utama di dalam menentukan sebuah konsep kamar beradu. Jadi, sebaiknya jika anda memilih kepala katil kayu, pastikan yang lainnya juga dibina daripada material yang sama. Begitu juga sebaliknya.

Beri tumpuan dalam pemilihan material bagi katil anda

O9. Putih merupakan warna popular bagi kemasan lembut untuk katil dan sebagainya. Pun begitu, anda masih boleh memilih warna lain tetapi pemilihan rona yang lembut membantu memberi terapi kepada kita.

Putih: Rona warna selamat untuk kamar beradu


1O. Kapas merupakan material terbaik bagi kemasan lembut untuk cuaca yang panas dan lembap seperti negara ini. Kapas juga memberi keselesaan daripada geseran tubuh dengan material. Kini, fabrik kapas dikenakan hiasan sulaman dan teknik jahitan yang menarik bagi tujuan perkahwinan atau sekadar menyambut tetamu dan lain-lain. Fabrik satin yang berkilau dan berwarna garang ada kala memberi sentuhan yang tidak seberapa dan agak kurang praktikal bagi kita yang tinggal di kawasan panas lembap dan beriklim khatulistiwa ini.

Monday 27 June 2011

PERCUMA: 5 Faktor Sebelum Memilih Kemasan Tingkap

Tingkap adalah elemen terpenting dalam proses pembentukan sesebuah kediaman. Fungsinya tidak hanya sebagai pelengkap kepada struktur rumah, malah lebih daripada itu. Binaan tingkap yang bersesuaian dengan lokasi dan kedudukan rumah memberi kesan kepada keseluruhan suasana dan kehidupan pemilik. Sekiranya ingin mendapatkan khidmat daripada pereka bentuk dalaman profesional, asas kepada rekaan dan fungsi binaan tingkap perlu diketahui terlebih dahulu. Komunikasi dan interaksi yang berkesan antara kedua-dua pihak dapat membantu memberikan hasil yang diinginkan.

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian dalam mengubah suai atau memilih kemasan tingkap:

1. Adakah ruang atau bilik yang dipilih mempunya jumlah cahaya mencukupi?

* Sekiranya anda berpuas hati dengan sumber cahaya yang memasuki sesebuah ruang atau bilik, anda perlu memilih jenis rawatan atau kemasan terbaik untuk mengawal kemasukan cahaya tersebut.
* Utamakan kemasan tingkap yang mempunyai beberapa lapisan. Sebaiknya, pilihlah fabrik jenis beralun. Reka bentuk fabrik juga adalah faktor yang membantu mengawal kandungan cahaya yang boleh diolah sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal.

Ubahsuai permukaan tingkap untuk mengoptimumkan kemasukan cahaya



2. Kemasukan cahaya yang tidak mencukupi?

* Pemilihan langsir daripada pilihan fabrik ringan dan jarang seperti 'sheer' adalah terbaik. Sekiranya anda inginkan suasana ruang lebih formal, seboleh-bolehnya pastikan kemasan tingkap yang dipilih dapat mengawal cahaya sepenuhnya.

Gunakan langsir dari jenis 'Sheer' untuk tingkap yang mempunyai keluasan terhad


3. Kedudukan atau rekaan tingkap yang tidak seimbang?

* Anda boleh memilih untuk menggantung langsir atau kemasan tingkap seperti pilihan fabrik atau bidai pada bahagian atas tingkap, iaitu pada ketinggian enam inci.
* Sekiranya saiz tingkap terlalu kecil, pastikan anda boleh menggantung fabrik untuk membolehkannya melindungi bahagian tepi tingkap.
* Perlu diingat, anda memerlukan permukaan dinding yang mencukupi bagi memastikan gantungan fabrik pada bahagian atas tingkap.

Penggunaan Bidai, Satu alternatif untuk kemasan tingkap


4. Kenal pasti konsep atau stail dekorasi bilik.

* Sentiasa pastikan kemasan dan reka bentuk tingkap adalah bersesuaian dan sepadan dengan konsep atau gaya dekorasi ruang pilihan.
* Sekiranya ruang adalah berbentuk formal, anda perlulah memilih fabrik yang lebih panjang sehingga mencecah ke aras lantai dan disertakan bersama pilihan fabrik berkualiti dengan rekaan kemas dan rapi.
* Bagi ruang tidak formal, pilihan fabrik yang tergantung pada paras tingkap dapat membantu ruang tampil menarik.


5. Peruntukan kewangan.

* Jumlah bajet adalah penentuan kepada pemilihan jenis dan kualiti fabrik untuk menggayakan stail atau rekaan pilihan.
* Sekiranya peruntukan adalah besar, anda berpeluang untuk membuat pelbagai pilihan fabrik dan kemasan yang berkualiti dan terbaik.
* Andainya peruntukan adalah terhad, pilih kemasan yang berpadanan dengan jumlah peruntukan yang telah anda peruntukan. Pemilihan langsir singkat sebagai contoh hanya memerlukan kuantiti fabrik yang kecil. Anda cuma perlu mengolah kreativiti untuk memilih corak dan motif yang mampu menampilkan kemasan tingkap yang lebih menyerlah.

Fabrik langsir yang mewah dan eksklusif


Sunday 26 June 2011

PERCUMA: Tips Pemilihan Hud Di Ruang Dapur Anda!

Tips Pemilihan Hud

1. Pemilihan model dan rekaan perlu diteliti supaya penggunaan hud di dapur memberikan kesan maksimum bagi menggelakkan kawasan dapur kotor akibat percikan minyak.

Kerja pembersihan lebih mudah dengan penggunaan hud

2. Jika bercadang menggunakan hud untuk tempoh lama, sentiasa pastikan sama hud yang digunakan itu masih boleh berfungsi dengan sempurna atau tidak. Seelok-eloknya, ia diservis setiap dua tahun.

Pemilihan hud perlu bersesuaian dengan kabinet dapur


3. Ada model yang mempunyai sistem penyedutan angin dan minyak menggunakan sistem penapisan. Tapisan melalui sistem ini perlu ditukar mengikut keperluan bagi memastikan ia mampu menyedut dan menyerap secara berkesan.


Evolusi Teknologi Hud Dapur

Pelaburan beribu-ribu ringgit bagi mengubahsuai dapur pasti tidak berbaloi jika setiap kali anda memasak, kekotoran terutama minyak, gris dan asap melekat di setiap sudut akibat gagal disalurkan dengan baik. Oleh itu, sebuah dapur cantik dengan pilihan reka bentuk kabinet moden serta menarik tidak memberi makna tanpa dipasang hud atau corong asap yang fungsinya tidak boleh dipandang remeh.

* Padanan hud pada reka bentuk binaan

Rekaan ruang dapur perlu diberi perhatian semasa memilih hud dapur. Dapur yang mempunyai keluasan terhad memerlukan hud yang lebih kecil bagi menggelakkannya kelihatan sempit dan sesak. Bahan binaannya mestilah tidak berat dan mudah dialihkan.

* Spesifikasi Teknologi Hud

Hud Jenis 'Chimney'


Keistimewaan hud ialah kipas penyedut yang mempunyai rekaan seperti kipas turbo enjin kapal terbang diakui dapat memberikan daya sedutan berkesan bagi memerangkap minyak, wap dan asap ketika memasak. Kipas diperbuat daripada bahan yang tidak membenarkan minyak melekat pada permukaannya itu memudahkan pembersihan dengan semburan air sahaja. Liang kipas alat ini mempunyai jarak 25 sentimeter dari dinding dapur secara tidak langsung dapat melindungi keseluruhan bulatan kuali besar.

* Bunyi Hud Pengaruhi Kualiti

Hud yang berkualiti tinggi beroperasi dengan senyap walaupun dengan penggunaan dalam kadar yang maksimum. Anda seharusnya peka bahawa bunyi kuat yang dihasilkan bukan bermakna hud anda berkeadaan baik dan beroperasi maksimum. Tahukah anda? Lebih senyap hud bekerja maka lebih berkualiti hud tersebut. Hud yang baik seharusnya beroperasi dengan kadar lebih senyap kurang daripada 57 db (desibel).

* Kemudahan Paparan Digital

Hud dengan teknologi digital


Operasi hud menjadi lebih mudah untuk difahami dan dikendalikan dengan paparan digital. Pengendalian menjadi lebih efektif dengan paparan maklumat tersebut.

* Pengesan Kebocoran Gas dan Kawalan Kepanasan

Hud yang dilengkapi pengesan gas dan kepanasan, anda hanya perlu meninggalkannya dalam keadaan 'Auto Mode'. Ia akan terpasang secara automatik dengan kuasa sedutan apabila mengesan sebarang kebocoran gas. Pengesan akan mengeluarkan bunyi penggera kecemasan. Ciri-ciri ini dapat mempertingkatkan tahap keselamatan di kediaman anda. Sistem pintar yang dipasang pada hud boleh mengesan dan mengawal kepanasan yang diperlukan berdasarkan kesesuaian dengan tahap kepanasan semasa memasak.

* Sistem Penggera

Penggera berfungsi membantu anda menentukan masa yang tepat untuk penyediaan makanan. Tidak perlu lagi risau masakan menjadi hangus kerana sistem penggera berbunyi sebagai peringatan kepada anda. Sistem ini turut dilengkapi dengan fungsi penangguhan masa membolehkan anda menentukan masa untuk menutup hud secara automatik setelah minyak dan asap diserap. Alat penggera itu boleh berfungsi memberi peringatan kepada pengguna setiap kali mereka mengukus atau memasak sesuatu. Ada kala pengguna terlupa apa yang dimasak menjadikan air rebusan kering dan boleh menyebabkan kebakaran. Dengan adanya sistem penggera ini, loceng berbunyi apabila tahap haba mencapai paras yang ditetapkan. Ia memberi isyarat kepada anda sesuatu sedang berlaku terhadap masakan dan memerlukan perhatian.

* Medium Anti Pencemaran

Hud bertindak sebagai ejen penyedut asap dan apa saja pencemaran hasil masakan di dapur. Ia menyerap asap dan kesan rembesan minyak supaya tidak melekat pada dinding atau lantai jubin dapur. Hud berfungsi meringankan kerja memasak kerana dapat menyerap asap, minyak berlebihan, bau yang kuat, wap panas dan bahan pencemaran lain di dapur.

* Pilihan Hud

Bergantung kepada kapasiti penggunaan, pilihan hud perlu sesuai dengan saiz dapur dan kegunaan harian. Jika sering memasak dengan kapasiti tinggi, pastinya penggunaan hud perlu dipilih daripada jenis berkuasa tinggi. Motor pada hud berkenaan mampu menjalankan tugasnya setiap kali memasak. Motor berkuasa tinggi mampu menyedut asap dengan berkesan.

* Fungsi Hud

Selain berfungsi sebagai penyedut asap, hud dapur turut dilengkapi sistem perangkap minyak yang memisah dan mencairkan minyak dengan bahan tercemar lain, sebelum dialirkan kepada bekas khas menyimpan kekotoran itu. Ada beberapa jenis hud sama ada ia dibersihkan secara manual dengan alat penapis khas atau hud dikendalikan melalui alat kendalian khas yang menjalankan tugas pembersihan secara automatik.


Hud boleh menggelakan pencemaran di ruang dapur



Click On Promotions!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...