Notification

We hereby declare, that most of the photos featured in this blog, do not belong to us except for those which have a watermark of our blog address. We would gladly remove any photos from our blog, upon notification from any parties, claiming their rights on the photos. Thank you.

Saturday, 14 May 2011

Tahukah Anda? : Kemasan Lantai

Jenis Kemasan Lantai

Berdasarkan kepada ciri-ciri yang dikehendaki, banyak jenis kemasan lantai boleh digunakan dalam pembinaan tempatan., antaranya ialah:

1. Lepa Simen

Kemasan lepa simen portland biasa ataupun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan dalam pembinaan bangunan perusahaan dan rumah-rumah kediaman kos rendah. Jenis kemasan ini boleh dibuat secara "monolithic" iaitu dibuat sekaligus semasa lapisan konkrit ditempatkan ataupun sebagai lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.


2. Jalur Kayu

Kemasan ini terdiri daripada papan jalur sama ada dipakukan pada beloti kayu yang ditanam di dalam lapisan konkrit ataupun pada gelegar lantai kayu. Papan jalur hendaklah bertanggam lidah dan lurah ataupun bertanggam lekap.

Seboleh-bolehnya lebar papan jalur mestilah tidak melebihi 100mm kerana papan yang lebih lebar akan mengecut berlebihan dalam proses pengeringannya. Papan jalur selebar 75mm lazim dibekalkan dalam pasaran tempatan. Lantai jalur kayu boleh dikemaskan dengan sampang atau lekar. Jenis kayu keras seperti kayu jati, cenggal dan kempas menghasilkan lantai kayu yang bermutu tinggi.


3. Parket

Kemasan parket dibuat dengan kepingan kayu beroti disusunkan mengikut corak seperti yang ditunjukan di dalam gambar. Kayu ini dilekatkan pada kertas selebar 300mm x 300mm supaya senang dilekatkan kepada dasar konkrit dengan menggunakan sejenis glu khas, permukaan parket perlu diasah dengan mesin canai sehingga rata dan licin. Permukaan parket yang licin dan bersih boleh dikemaskan dengan sampang, lekar atau lilin. Jenis kayu yang biasa digunakan untuk membuat lantai parket ialah kayu jati dan kempas.



4. Jubin

Banyak jenis jubin boleh didapati daripada pasaran tempatan untuk berbagai-bagai kegunaan. Jubin-jubin ini diperbuat daripada tanah liat, pasir dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ia adalah keras dan kalis air serta mempunyai sifat-sifat yang tertentu untuk kegunaan khas, contohnya ialah jubin rintangan gelincir, jubin tahan lasak dan sebagainya. Jubin ini dihasilkan dalam beberapa saiz dan warna secara homogen ataupun bergris pada permukaanya sahaja.

Saiz jubin yang dihasilkan ialan 110mm x 110mm, 150mm x 150mm, 200mm x 200mm, 200mm x 100mm, 200mm x 300mm, 300mm x 300mm. Pembinaan jubin ini dilakukan pada dasar konkrit dengan menggunakan adunan simen (bancuhan simen dan air sahaja). Di celah-celah sambungan di antara jubin-jubin ini diisikan dengan simen putih ataupun simen berwarna.






5. Batu Marmar

Kepingan batu marmar yang berupa papak sekata ataupun papak tak sebentuk dilekatkan di dasar konkrit dengan menggunakan adunan simen. Permukaan lantai perlu diasah dengan mesin canai menggunakan batu asah gred kasar (No.24) ke gred halus (No.350) sehingga rata dan licin, kemudian dikemaskan dengan lilin. 



6. Mozek

Mozek diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ia merupakan kepingan jubin kecil disusun dengan berbagai-bagai rekabentuk. Mozek biasanya dilekatkan pada kertas dengan saiz sebesar 300mm x 300mm. Pembinaannya dilakukan dengan menggunakan adunan simen untuk melekatkan mozek di dasar konkrit. Di celah-celah ini diisikan dengan bancuhan simen dan pasir halus.




7. Terazzo

Terazzo diperbuat daripada serpihan batu marmar yang kecil, dibancuh dengan simen dan permukaannya diasah sehingga licin dan berkilat. Terazzo digunakan sebagai kemasan lantai ataupun tembok. Lantai terazzo boleh dibuat dengan cara 'tuang-di-tempat' (in-situ) ataupun 'tuang-dahulu' (precast).

Dalam pembinaan lantai terazzo, nisbah bancuhan batu-bata marmar dan simen adalah bergantung kepada saiz batu marmar:

  • saiz batu marmar sehingga 10mm - bancuhan 1:2,
  • saiz batu marmar sehingga 12mm - bancuhan 1:3.
Bancuhan air tidak melebihi 25 liter bagi satu beg simen untuk menentukan nisbah air-simen dalam lingkungan 0.50, dan penurunannya 25mm. Seperti bancuhan konkrit yang lain, bancuhan terazzo inilah digunakan dalam jangka masa setengah jam selepas air dibancuhkan.

Selepas terazzo ditempatkan dan dikemaskan dengan pemaras keluli, pengawetan hendaklah dilakukan sebaik sahaja terazzo mengeras. Pencanaian boleh dilakukan 36 jam selepas lantai itu dibuat. Bermula dengan batu asah gred kasar (No.24) lantai itu dicanai pula dengan mesin canai sehingga rata dan kelihatan bentuk asal batu marmar pada keseluruhan permukaannya. Lantai tersebut dibersihkan dan lubang-lubang halus ditampal dengan turapan simen yang sama warnanya. Pencanaian kali kedua dengan menggunakan batu asah gred No. 120/ 150 selepas diawetkan selama 5-7 hari. Sekali lagi, lantai dibersihkan, ditampal lubang-lubang halus dan diawet selama 2-3 hari. Akhirnya lantai digosok dengan batu asah halus gred No. 350 bersama asid oksalik dan air sehingga bersih dan berkilat.

Lantai terazzo digunakan untuk bilik tamu, bilik tidur, bilik pejabat dan sebagainya, tetapi kurang sesuai di bilik air, dapur dan tempat-tempat yang lembap, sebab permukaan terazzo menjadi gelincir dan licin jika terkena air.



1 comment:

Click On Promotions!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...