Notification

We hereby declare, that most of the photos featured in this blog, do not belong to us except for those which have a watermark of our blog address. We would gladly remove any photos from our blog, upon notification from any parties, claiming their rights on the photos. Thank you.

Sunday 31 July 2011

PERCUMA: Tips Tata Hias Di Meja Makan

MINIMALIS

Terfikirkan anda untuk menghias kediaman anda seringkas mungkin? Sudah tentu ramai yang menggelengkan kepala. Bukan ramai yang boleh menerimanya. Ringkas dikatakan tidak bergaya? Fikirkan kembali. Bagi orang bujang atau mempunyai kediaman ruang terhad, inilah gaya yang patut ada dalam menampakkan kematangan anda menghias kediaman. Biar pun ringkas, perabot dan aksesori yang ada perlu daripada barang yang berkualiti. Ia bukan sahaja senang diurus tetapi menyelamatkan anda daripada penat membersihkan itu dan ini.





PENCAHAYAAN

Bagi kediaman terhad, pencahayaan putih daripada lampu kalimantang perlu ada. Ia mencerminkan kesan bersih dan tenang kawasan. Jika mahu, pilih bekas lampu yang mempunyai kesan warna putih. Pilih lampu dinding pada dinding utama. Lampu terdiri daripada bekas kertas dengan rekaan ringkas juga bagus untuk menyeragamkan gaya dekorasi. Pencahayaan tersorok sememangnya mampu menghidupkan lagi gaya dekorasi seperti ini. Pilih langsir berbelang jika mampu dan bidai roman. Pastikan segala-galanya putih dan bebas corak.


AKSESORI

Kesan kayu kasar, bekas telus pandang, kesan besi tahan karat adalah elemen yang perlu dijaga. Ia melambangkan cita rasa hebat anda dalam menata hias. Untuk menghidupkan mood nusantara, gantungkan fabrik tradisional seperti songket atau pun kain tenun. Keladi besar, terendak dan alas tikar jangan dilupakan bagi menghidupkan suasana desa. Biarkan meja makan polos tanpa alas. Serlahkan ira kayu dan jika boleh, pilih daripada permukaan yang agak kasar. 


RONA PILIHAN

Putih asli, hijau pastel, kelabu samar dan kuning.






PILIHAN URBAN


Lupakan sebentar tata hias yang biasa anda lakukan untuk menyambut sebarang festival atau keraian. Gaya urban bagi yang tinggal di kota sudah sememangnya selari. Tambahan pula ketika mengadakan sebarang keraian seperti rumah terbuka, sambutan hari raya dan sebagainya. Jadi, dalam kesibukan bertugas, mudahkan kerja anda dengan memilih gaya urban. Pilihan hampir dengan minimalis tetapi agak terisi daripada segi dekorasinya. Selain kerusi makan besi tahan karat, anda sebenarnya boleh memilih kerusi 'NUMBER SEVEN' ilham oleh pereka Arne Yacobsen, dari rona warna putih atau kelabu sebagai ganti. Atau pilih sahaja meja besi dan penyudah kaca. Hiasan meja biarlah ringkas dan tampak semula jadi. Paling penting adalah kombinasi antara elemen hias perlu seragam.


'Urban Chic'


Kerusi "NUMBER SEVEN" ilham rekaan oleh pereka Arne Yacobsen




PENCAHAYAAN


Pilih lampu gantung yang ruang lingkupnya agak sederhana. Pilih dua buah jika mejanya agak panjang. Lampu halogen boleh dipilih sekadar menerangi beberapa sudut yang dirasakan perlu. Atau, jika anda memiliki lukisan abstrak besar yang menarik, serlahkan sahaja dengan pencahayaan ala galeri ini.




AKSESORI


Anda mempunyai dua pilihan. Sama ada mahukan rona putih atau yang lebih berwarna-warni. Pilih pinggan mangkuk polos tetapi mempunyai karakter menarik. Ia bukan sekadar sesuai dengan konsep keseluruhan. Tetapi makanan yang dihidangkan sudah pasti lebih menyelerakan. Bunga anthurium dan orkid putih antara pilihan pereka untuk gaya moden sebegini. Jika mahu sedikit warna, pilih pelapik makan yang mempunyai corak ranggi.




RONA PILIHAN


Hijau Militari, Putih Asli dan Biru Klinikal.






MODEN KONTEMPORARI


Gaya sebegini sudah pasti menjadi pilihan ramai anak muda. Senang diperoleh dan pada masa yang sama menyemarakkan nilai estetika pada ruang. Buat yang mempunyai kediaman mewah, ia dirasakan agak kosong. Tetapi bagi mereka yang mendiami apartment, kondominium dan pangsapuri, gaya sebegini pasti tidak mengecewakan. Lupakan sahaja untuk bermain dengan fabrik yang sarat dengan corak. Ukiran kerawang minta dijauhkan. Ini hanya mengganggu ragam reka konsep kediaman. Ruang makan juga perlu ada kreativitinya. Dua kerusi utama, boleh berbeza daripada kerusi yang lain. Malah, hiasan meja juga tidak semestinya perlu diletakkan di tengah-tengah meja.


Moden Kontemporari




PENCAHAYAAN


Jika mahu, tambah lilin di atas meja sebagai pelengkap gaya. Meja makan perlu kelihatan tenang daripada segi pencahayaan. Dinding berdekatan juga jangan dibiarkan kosong. Permainan pencahayaan 'wall wash' bagus untuk menaikkan mood. Pilih siling 'Plater of Paris' yang mempunyai rekaan unik. Pencahayaan daripada bahagian dalam siling sudah tentu memberi mood mewah.




AKSESORI


Rentak kontemporari sebenarnya mampu diserapkan dalam apa jua konsep. Bagi mereka yang mahukan sedikit sentuhan 'oriental', cuba gabungkan dengan 'Zen'. Pilihan aksesori kayu perang kelam memberi nafas berbeza. Begitu pun, jika enggan ruang tampil statik, serikan dengan pilihan aksesori yang lebih berwarna-warni. Biar sederhana, namun menarik. Paling penting, anda perlu memilih aksesori polos dan bentuk yang agak lari daripada kebiasaan.




RONA PILIHAN


Kuning Telur, Biru Samar, Hijau Epal dan Merah Samar.





No comments:

Post a Comment

Click On Promotions!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...