Notification

We hereby declare, that most of the photos featured in this blog, do not belong to us except for those which have a watermark of our blog address. We would gladly remove any photos from our blog, upon notification from any parties, claiming their rights on the photos. Thank you.

Tuesday 21 June 2011

Tahukah Anda? : Jenis Pintu Kayu

Pintu kayu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut rekabentuk dan fungsinya. Jenis-jenis yang utama ialah pintu beroti, pintu rata, pintu panel dan pintu ram.


1.O Pintu beroti

Pintu beroti diperbuat daripada papan beroti yang bertanggam lidah dan lurah. Untuk menambah kecantikan papan beroti, alur 'V' dibuat dengan mencuramkan tepi papan.

Jenis pintu beroti dikenal dengan mengikut kaedah pembinaannya, iaitu:

a. Pintu Beroti Berbelebas
b. Pintu Beroti Berbelebas Dan Berembat
c. Pintu Bingkai Beroti Berbelebas Dan Berembat


1.1 Pintu Beroti Berbelebas (Ledge and Lined)

Kayu beroti dipaku kepada belebas-belebas lintang. Kelemahan pintu ini ialah ia boleh menghilangkan bentuk seginya oleh kerana pemakuan papan beroti kepada belebas tidak dapat membingkaikan pintu dengan teguh. Pintu ini cuma digunakan bagi bukaan yang kecil.




1.2 Pintu Beroti Berbelebas dan Berembat (Ledged Lined and Braced)


Kaedah pembinaannya hampir sama dengan pintu beroti berbelebas kecuali diperkukuhkan dengan adanya rembat-rembat di antara belebas. Rembat-rembat ini dipasang menyerong untuk melawan tekanan sebelah yang berkunci. Ia dipaku atau diskru kepada papan beroti. Pintu ini digunakan bagi bilik stor yang tidak mementingkan tentang keadaan rupa.



1.3 Pintu Bingkai Beroti Berbelebas dan Berembat (Framed, Ledged, Lined and Braced)


Antara tiga jenis pintu beroti, jenis ini adalah yang paling kukuh dan kemas. Papan-papan beroti dipasangkan kepada bingkai dan belebas yang diperkukuhkan dengan rembat-rembat di antara belebas. Bahagian susur atas diperbuat daripada papan beroti yang lebih tebal daripada daripada susur tengah dan bawah. Tanggam lubang dan puting digunakan pada susur dan sisi bingkai. Jenis pintu ini amat sesuai untuk pembukaan yang luas seperti pintu bengkel, kilang dan sebagainya.


Penggunaan Pintu Berbingkai Beroti Berbelebas dan Berembat sebagai pintu pagar dan pintu 'car porch'

2.O Pintu Rata

Pintu rata digunakan secara meluas dalam binaan bangunan. Ia juga sesuai bagi binaan pintu-pintu di bahagian dalam rumah, tetapi dengan menggunakan bahan-bahan yang bermutu ia boleh digunakan di bahagian-bahagian luar rumah. Pembinaan pintu rata biasanya diperbuat daripada bahan-bahan seperti papan lapis, papan serau dan lapisan plastik.

Pintu rata boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

a. Pintu Rata Berongga
b. Pintu Rata Padu


2.1 Pintu Rata Berongga

Bahagian-bahagian utama dalam pembinaannya terdiri daripada bingkai dalam yang mempunyai 2 batang sisi bingkai, susur atas, susur tengah dan susur bawah serta beberapa batang susur antara dengan sekeping blok kayu tempat pemasangan kunci. Pintu Rata yang bertugas ringan, bingkainya mempunyai lebih kurang 30% - 40% padu. Pintu yang bertugas sederhana berat seperti di bahagian di luar rumah, bingkainya lebih kurang 50% - 60% padu. Untuk mendapatkan binaan yang kukuh susur-susur antara di pasang lebih rapat. Pintu bertugas ringan, jarak susur antara ialah dalam lingkungan 125mm ~ 150mm dan untuk pintu bertugas sederhana berat jaraknya ialah 60mm ~ 70mm. 

Lapisan permukaan ditampal kepada kedua-dua bingkai pintu supaya menutup ruang bingkai. Ia biasa diglu dan diapit dengan himpitan yang tinggi untuk menghasilkan satu permukaan yang kemas dan rata tanpa menggunakan paku. Kerosakan pada tepi bibir pintu biasa berlaku, oleh itu sekeping kayu kecil dipasang kepada sekeliling bibir untuk tujuan mengemaskan serta melindungi tepinya.

Pintu rata yang digunakan di bilik mesyuarat atau bilik kuliah boleh disertakan panel kaca dengan dipasang kumai tampal untuk mendapatkan kekukuhannya.

Pintu Rata Berongga


2.2 Pintu Rata Padu

Pintu ini adalah pintu bertugas berat yang digunakan di dalam bangunan awam dan sesuai sebagai pintu perintang api. Ia mempunyai sifat-sifat merintang haba dan akustik yang lebih baik daripada pintu rata berongga. Pembinaannya sama dengan pembinaan pintu rata berongga kecuali ia mempunyai kayu teras yang diperbuat daripada beroti kayu yang diglu dan diapit di antara satu sama lain serta permukaannya diperbuat daripada papan lapis yang bibirnya ditutup sepanjang kedua-dua sisi bingkai. Pintu rata yang padu adalah lebih berat dan mahal daripada pintu rata berongga.

Pintu Rata Padu

3.O Pintu Panel

Pembinaan pintu panel terdiri daripada sisi-sisi bingkai dan susur-susur yang mengelilingi panel kayu yang berjumlah dari satu sehingga dua belas atau lebih. Bilangan panel adalah bergantung kepada saiz pintu dan rekabentuknya. Saiz kayu yang digunakan ialah di antara 100mm - 200mm lebar dan 38mm - 45mm tebal. Susur tengah dan bawah adalah lebih lebar daripada susur atas supaya dapat mengimbang rupa bentuk pintu itu.

Pintu Panel

Pintu Panel dan Kerangka Pintu

Antara contoh pintu-pintu panel yang terdapat di pasaran

4.O Pintu Ram


Pembinaan pintu ram adalah hampir sama dengan pintu panel kecuali bahagian panel digantikan dengan ram yang tidak boleh laras. Ram kayu yang curamnya 45 ̊ - 60̊ , setebal 12mm - 15mm dipasang kepada sisi   dipasang dilakukan dengan memasukkan kedua-dua hujung ram ke dalam lurah sisi bingkai kemudian diglu dan diapit supaya tegap dan kukuh. Pintu ram biasanya mempunyai satu ataupun dua panel. Ia sangat sesuai digunakan sebagai pintu bengkel ataupun pintu dapur.

Pintu Ram




3 comments:

  1. saya amat berminat untuk menggunakan Pintu Berbingkai Beroti Berbelebas dan Berembat kerana ia memberikan privacy yang maksimum utk kediaman saya...apakah jenis2 kayu yg ada dan price rangenya?..dan semestinya saya nak tahu harga yang paling berpatutan kerana saya bukanlah Paris Hilton..:)

    ReplyDelete
  2. terima kasih dengan persoalan dari En. Rizal.... nampaknya En. Rizal mempunyai citarasa yang unik dan mengutamakan nilai estetika di samping memenuhi keperluan privasi bagi kediaman En. Rizal. Untuk pengetahuan, kayu yang boleh digunakan untuk pintu yang diinginkan boleh terdiri daripada jenis meranti, merbau dan resak. Manakala harga pada kebiasaannya akan bergantung kepada saiz dan juga jenis kemasan yang dikenakan pada permukaan kayu tersebut. Jika berminat En. Rizal mungkin boleh memberikan ukuran saiz pintu yang hendak digunakan dan dimanakah pemasangannya akan dibuat, pihak kami akan cuba membantu dan memberikan Quotation secara PERCUMA kepada En. Rizal.... Terima Kasih

    ReplyDelete
  3. saya ingin mengetahu jenis2 pintu berhias, sebab dlm S&P sy ada menyatakan jenis pintu kayu berhias sedangkan pihak pembina memasang jenis pintu kayu panel biasa.

    azmi g.musang

    ReplyDelete

Click On Promotions!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...