RAHSIA MAINAN WARNA
Ini merupakan satu lagi cara anda bermain dengan warna dan konsep. Bagi yang mempunyai kediaman sederhana, konsep begini dapat membantu menampakkan nilai estetika dan elegan pada ruang.
Baca beberapa panduan ringkas dan mudah bagaimana untuk menjadikan perabot yang dibeli dan juga ruang kediaman anda tampak lebih mahal dan eksklusif.
Keceriaan warna |
001... Lihat dahulu apa yang anda ada?
Berdiri di hujung ruang kamar dan lihat apa yang anda sudah miliki. Apakah warna majoriti perabot anda? Kemudian rumuskan pula apa jenis warna lain yang boleh menyerlahkan pesona yang ada pada perabot tersebut dan ruang yang merangkuminya? Bagi yang mempunyai perabot diperbuat daripada kayu atau lilitan rotan dan rumpai air, anda boleh memilih rona yang lebih semula jadi seperti jingga tanah merah, hijau mahupun perang kehijauan. Awas! Elakkan memilih rona yang sedondon, kerana ianya hanya akan menenggelamkan keindahan perabot anda.
002... Titik tumpu kunci kekuatan
Lihat sekitar kamar anda, Apakah objek yang boleh dijadikan titik tumpu bagi ruang tersebut. Adakah lukisan atau pun perabot? Atau pun Arca mahupun hiasan dinding seperti rag dan juga tekstil mewah. Bergerak dari sini, anda boleh memadankan rona yang sesuai bagi menyerlahkan objek tersebut. Misalnya anda menggantungkan sebuah lukisan berwarna kuning susu dan putih gading. Lukisan abstrak yang banyak menggunakan rona lembut dan natural. Jadi, kenapa tidak anda kenakan rona perang kayu jati pada lukisan tersebut dan yang lain perang yang lebih lembut atau kuning keputihan. Anda juga boleh mengenakan biru belerang yang lembut (pastel) dan juga hijau puding.
003... Status Ruang
Jangan abaikan soal ini. Anda yang mempunyai kediaman luas terutamanya, boleh bermain dengan pilihan rona yang penuh kejutan bagi setiap ruang. Misal kata, ruang makan dan ruang tamu anda mungkin boleh mempunyai warna tersendiri. Manakala bagi ruang lain, seperti koridor dan sebagainya mempunyai satu warna standard. Jadi, kita boleh merasakan keistimewaan ruang penting ini dan menonjolkan imej atau konsep yang ingin anda serlahkan. Bukan sekadar cat, anda juga boleh memilih kertas dinding dan kemasan lembut yang mempunyai warna menarik.
004... Gandingan Tekstur dan Warna
Sebenarnya kepelbagaian warna boleh dipilih melalui tekstur dan karakter permukaan. Perlu kita tahu, setiap permukaan yang berbeza bakal melahirkan kesan warna yang berbeza. Jadi, jika anda mahu bermain dengan gaya harmoni, jangan ragu-ragu memilih pelbagai tekstur agar garapan dekorasi anda tidak kelihatan membosankan. Malah ianya akan menunjukkan kematangan anda sebagai pereka. Misalnya, sofa berwarna biru muda daripada fabrik licin kemas, manakala kusyen kecilnya pula daripada anyaman tikar yang dicelup rona biru sedondon, atau daripada fabrik kasar seperti sutera mentah mahupun dari jenis benang kait.
oo5... Kontra itu SENI
Mungkin tidak ramai yang gemar akan teknik ini, tetapi bagi mereka yang berjiwa muda dan tidak mahu kediaman mereka kelihatan lesu, cara dan konsep ini boleh dipraktikkan. Rona kontra sebetulnya mampu memberi rangsangan positif terhadap ruang terutamanya bagi ruang yang mempunyai saiz yang terhad. Ia bagaikan sebuah hasil seni yang diterjemahkan di dalam bentuk seni hiasan kreatif. Pilihan rona yang SEMARAK seperti hijau zaiton, merah darah, perang madu dan biru nila cukup memberi tenaga dan dekorasi tampil lebih elegan dan hebat. Bagi pereka, ruang terhad atau ruang sempit akan kelihatan lebih hidup dan bermaya juga lebih luas dengan paduan warna-warna kontra. Bagi pemilik kediaman yang lebih besar, anda juga boleh bermain dengan rona sebegini tetapi biarlah biasan warnanya dilembutkan sedikit agar tidak keterlaluan.
Pilih warna mengikut rona yang panas atau pun yang lebih menenangkan... |
oo6... Kekuatan kemasan ruang
Minimalisme? Ramai yang sukakannya kerana mudah dan mesra ruang. Pereka jika berhadapan dengan masalah ini lebih gemar merujuk kepada kemasan ruang. Kekuatan pada kemasan ini seperti kertas dinding, jubin, marmar merah, parkir susunan tulang pari dan sebagainya. Jadikan kemasan ruang yang mahal ini titik tolak pemilihan untuk mewarnai ruang yang ada. Pilih sama ada gandingan warna harmoni atau warna kontra. Pastel atau primer. Jadi, ia membantu anda mencari pesona warna yang tepat agar ruang bertambah elegan.
oo7... Kesesuaian kemasan lembut juga penting
Jangan leka memilih warna kesukaan anda sehingga keliru untuk memadankan dengan kemasan lembut. Kita tidak dapat menidakkan kepentingan kemasan lembut dan sumbangannya terhadap ruang. Buat perancangan khusus dan pastikan anda benar-benar boleh menerima pilihan warna yang ditetapkan. Sekiranya memilih rona pastel seperti merah jambu, pastinya anda boleh mengenakan pilihan kemasan lembut berwarna pastel yang lain. Mungkin anda boleh memercikkan sedikit rona terang seperti warna 'merah cili' bagi memberikan sedikit 'tenaga' kepada ruang.
oo8... Semak dan Kaji kedudukan ruang
Lakukan perkara ini. Kaji kualiti cahaya dan juga struktur kediaman seperti tinggi dan rendahnya aras siling, penggunaan material kayu atau konkrit? Pilih sudut tempat yang sentiasa digunakan untuk beristirahat dan pilihlah biasan warna yang paling sesuai. Maksudnya, di dalam carta cat terdapat pelbagai warna dan kadar kualiti terang atau suram sesuatu cat. Jadi dari situ anda sewajarnya memilih cat yang mampu menceriakan anda di samping memberi keselesaan kepada mata dan jiwa. Cari warna contoh dan tampalkan pada dinding. Kaji keserasiannya agar anda tidak silap membuat keputusan.
oo9... Aspek budaya penting
Budaya dan tona warna adalah sangat penting. Misalnya anda memilih konsep kedesaan Inggeris, cuba ulangi kembali pesona warna-warna bunga segar. Merah jambu, biru muda dan putih asli pada mereka yang berani mencuba gaya Konsep Mediterranian. Jika anda memilih Konsep Zen, ketegasan rona perang kehijauan, perang dan hitam menjadi konsep kekuatan konsep ini. Bagaimana pula klasifikasi warna bagi konsep Oriental? Merah menyala biarpun sedikit perlu ada di dalam rona-rona warna dekorasi pilihan anda. Jangan membuat kesilapan dengan mengadunkan rona warna yang asing daripada gaya sebegini kerana ianya akan menyimpang dari konsep tata hias budaya asal konsep tersebut.
010... Bermain dengan elemen sedia ada
Andainya kediaman anda mempunyai pilihan warna yang sangat dramatik, dan anda tidak menyenangi konsep rona warna yang sebegitu, pilih satu warna yang mampu memberi keseimbangan pada dekorasi. Putih merupakan pilihan yang selamat kerana warna-warna dramatik seperti ungu biji kundang atau perang tembakau yang cukup kuat dalam menjadikan ruang tamu tampil begitu menyerlah. Begitu juga sebaliknya, jika anda mendapat kediaman dengan warna rona asas, pilihan anda adalah lebih meluas dan inilah masanya anda bermain dengan segala fantasi yang ada. Ia bagi memudahkan anda untuk menjadikan kediaman lebih hidup dan lebih hebat penampilannya dengan cara paling mudah dan ringkas.
011... Inspirasi semula jadi
Rona-rona warna seperti biru lembayung atau langit pada ketika tengahari dan dipadankan dengan hijau rumpur mampu membangkitkan inspirasi sumber ilham konsep semula jadi. Kemudian gandingkan dengan kuning yang bersinar seperti sinaran matahari. Imbangan yang cukup eksklusif ini akan menwujudkan suasana yang ceria dan bersemangat untuk penggemar konsep yang sebegini.
Cat dalam pelbagai rona warna |
No comments:
Post a Comment