Tangga
Tangga adalah sebahagian yang penting dalam pembinaan bangunan. Ia membolehkan perhubungan atau laluan turun-naik yang mudah di antara satu tingkat dengan tingkat yang lain di dalam sesebuah bangunan. Pembinaan tangga mengandungi beberapa anak tangga yang dibina dalam satu larian terus atau mempunyai beberapa larian yang diselangi dengan pelantar. Pilihan jenis tangga yang sesuai untuk sesuatu keadaan bergantung kepada beberapa faktor, iaitu:
1. Adakah kegunaan tangga untuk rumah kediaman atau bangunan awam?
2. Ruang bukaan bagi tangga yang dibina.
3. Ukuran naik dan curam yang dikehendaki.
4. Rekabentuk yang paling berkesan dan ekonomi.
Pembinaan tangga dapat dibahagikan kepada EMPAT jenis utama, iaitu:
a. Tangga Larian Lurus
b. Tangga Suku Pusingan
c. Tangga Separuh Pusingan
d. Tangga Geometri
a. Tangga Larian Lurus
Tangga larian lurus meliputi satu deretan anak tangga yang menghubungkan dari satu tingkat ke tingkat yang lain dalam satu arah. Untuk tangga larian lurus yang terlalu panjang boleh diputuskan dengan pembinaan pelantar perantaraan supaya mendapatkan deretan anak tangga yang lebih senang dan selesa didaki. Penggunaan tangga lurus memberikan rupa bentuk yang paling mudah dan murah dalam pembinaan tangga.
Tangga Larian Lurus Diperbuat Daripada Kayu |
b. Tangga Suku Pusingan
Tangga ini meliputi dua deretan anak tangga yang meningkat dari lantai bawah ke lantai atas dengan pelantar yang membelok sejauh 90 ̊ (suku pusingan) di pertengahannya. Penggunaan tangga suku pusingan amat sesuai untuk ruang bukaan tangga yang terhad di mana tangga larian lurus tidak dapat digunakan.
Tangga Suku Pusingan |
c. Tangga Separuh Pusingan
Tangga ini meliputi dua deretan anak tangga meningkat dari lantai bawah ke lantai atas dengan pelantar yang memusing melalui 180̊ (separuh pusingan) di pertengahannya. Kedua-dua deret anak tangga adalah selari. Susunan anak tangga di lantai atas biasa berakhir di atas titik permulaan pada lantai bawah. Ini akan menghasilkan bilangan anak tangga yang sama untuk kedua-dua deretan tangga ini. Penggunaan tangga separuh pusingan amat sesuai sebagai tangga awam, terutamanya sebagai tangga kecemasan untuk bangunan-bangunan pejabat yang bertingkat-tingkat.
Tangga Separuh Pusingan |
d. Tangga Geometri
Tangga ini meliputi satu deretan anak tangga berterusan yang disusun mengelilingi tupang tengah menjadikan satu tangga keliling. Pembinaan tangga keliling memerlukan kawasan lantai kecil tetapi kegunaannya adalah terhad kerana ia tidak sesuai untuk memindahkan barang-barang besar seperti perabot disebabkan kesempitan anak tangga ini.
Reka Bentuk Tangga Geometrikal |
Tangga Elips di Kediaman Mewah |
Tangga elips pula mempunyai rekabentuk yang menarik, ia digunakan sebagai tangga masuk utama bagi bangunan mewah.
Tangga Elips Konsep Kolonial |
Tangga boleh dibina daripada bahan-bahan seperti kayu, konkrit atau logam dan dikemaskan dengan kayu, batu-bata, konkrit dan lain-lain bahan yang sesuai.