Pages

Thursday, 23 June 2011

PERCUMA: Tips Ringkas Untuk Kediaman (Siri II)

O.1O. Kuasa Gebar Berlapik

Kini anak muda lebih gemar memilih sofa polos sebagai kemasan lembut sofa masing-masing. Ia sememangnya indah dan tampil urban. Tetapi kadang-kadang jika ia terlalu lama di ruang ramu, sememangnya akan menimbulkan rasa bosan. Mungkin bagi sesetengah orang lebih gemar meletakkan fabrik biasa sebagai lapik dan memberi warna. Anda juga sebenarnya boleh meletakkan gebar berlapik sebagai ganti. Ia bukan sahaja berwarna-warni, tetapi boleh digubah selaras dengan imej yang hendak disampaikan oleh tuan rumah.


Sofa Polos Dan 'Throw' atau Gebar
Pelbagai rona gebar untuk dijadikan aksesori bagi sofa anda


O.11. Curi Ruang Untuk Selesa

Bagaimana mungkin untuk kediaman sempit mempunyai ruang bonus? Di mana ruang hendak diletak koleksi buku yang ada? Jawapannya adalah perancangan bijak pada dinding dan memilih kabinet bina dalam. Biar kecil dan tinggi, ruang untuk membaca sememangnya praktikal diwujudkan. Jika anda bijak mencuri ruang di koridor atau di pinggir ruang makan, mahu pun di sisi jalan menghala ke dapur, sudut membaca anda pasti tampil gah dan berbeza daripada yang lain.


Rak buku



O.12. Membangkitkan Selera

Sekiranya ruang makan sempit, kita disarankan agar memilih jenis meja kecil untuk empat orang sahaja. Reka bentuk meja sama ada yang bulat atau segi empat, bergantung kepada pelan lantai ruang. Jika ruang sempit dan terletak di bahagian sudut, meja bulat sudah pasti adalah yang baik. Bukan sahaja mampu mengelakkan kemalangan, tetapi menarik diletakkan pada ruang makan. Manakala seandainya ruang makan anda mempunyai pelan lantai memanjang, meja segi empat tepat dilihat lebih sesuai.

O.13. Elakkan Kemalangan Dapur

Kawasan yang sangat sibuk dalam satu masa. Ramai yang tidak sedar akan kepentingan perincian pada dapur, Bucu kabinet misalnya perlu dipotong menjadi separuh bulat bagi mengelakkan kemalangan. Jika boleh, elakkan daripada memilih kemasan kayu gelap untuk material kabinet bina dalam. Mengapa? Ini adalah kerana kabinet anda akan kelihatan begitu besar dan menyesakkan ruang. Ia juga memberi satu rasa tidak selesa kepada kita dan agak janggal dilihat di kawasan yang terhad itu. Jika mahu memilih kemasan, pilih kaca kabut yang tampak ringan dan santai.

O.14. Ilham Tergantung

Bekas jem, biskut atau lain-lain balang kaca usah dibuang setelah isinya habis digunakan. Anda boleh cuba berkreatif dengan bahan-bahan terpakai ini. Jika anda mempunyai rak, bahagian bawahnya boleh dimuatkan dengan bekas-bekas ini terutamanya jenis balang. Gam bahagian atas penutup balang pada bahagian bawah rak. Gunakan gam yang kuat agar botol ini tidak jatuh. Jadi, setiap kali anda ingin mengambil barang, pulaskan sahaja balang tersebut agar terlerai daripada penutupnya. Begitu juga sekiranya mahu menyimpan kembali. Jadi, anda juga boleh menjimatkan ruang dan ianya selamat.

O.15. Cahaya Oh Cahaya

Kita kadang-kadang terlupa untuk merancang ketika membeli perabot. Hasilnya, ruang menjadi seperti dekorasi ala rojak yang merimaskan. Jika anda berasa ia sudah terlambat untuk mengindahkan rumah, anda silap! Pilih lampu lantai dan lampu meja yang sesuai. Cahaya suram dan sinaran redup seperti yang dihasilkan oleh lampu jenis ini boleh melindungi kelemahan yang ada pada ruang tamu atau apa saja ruang di kediaman anda. Cahaya yang malap bukan sahaja dapat menyorokkan apa yang tidak perlu, malah limpahan cahaya keemasan turut memberi kesan mewah pada ruang.

O.16. Penyapu Juga Penyeri

Pesan orang tua, penyapu jangan diletak di hadapan pintu. Tidak manis dipandang orang. Kini, jika anda tidak tahu bagaimana cara untuk meletakkan penyapu lidi anda terutamanya, dapatkan tempayan kecil. Masukkan penyapu lidi anda secara terbalik. Biar hujung penyapu dikembangkan sedikit seperti gubahan bunga. Paling sesuai untuk kediaman berkonsepkan 'Tropika Nusantara'. 

O.17. Sudut Peribadi

Sekiranya masih terdapat sudut kecil di ruang tamu, jadikan tempat lambakan surat khabar lama atau beg sekolah anak-anak. Cukup sebuah kerusi dan meja kecil sebagai penyeri sudut lebihan yang ada. Anda boleh duduk di sini sambil melayan tetamu di deretan sofa atau satee lain yang disediakan. Anda juga boleh menjadikan sudut ini sebagai sudut bacaan, bersantai dan menonton.

O.18. Satu Sudah Cukup

Bagi kediaman yang agak kritikal saiznya, sebuah kerusi ukiran gah seperti "Cleopatra" sudah memadai. Cantik, mahal dan menjimatkan ruang. Jadi, pemilihan bijak perabot seperti ini boleh menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa gaya. Jika boleh, hamparkan permaidani agar lebih selesa bagi tetamu yang memilih untuk duduk bersimpuh di atas lantai.

O.19. Cantuman Pelbagai Warna

Ringkas dan bertenaga. Anda perlu ingat, rumah yang kecil mudah mendatangkan rasa bosan kerana kita di kelilingi dinding yang sama setiap masa. Jadi, dengan adanya percaturan pelbagai warna, rasa bosan atau sempit boleh dikurangkan. Malah kediaman bertukar menjadi meriah seperti sebuah set penggambaran iklan atau filem.


No comments:

Post a Comment