Pages

Thursday, 30 June 2011

Tahukah Anda? : Gerbang Pelengkap Struktur Seni Bina

Struktur dekoratif pada kediaman kini semakin popular melengkapkan seni bina sesebuah kediaman. Binaan gerbang adalah bukaan yang mendefinisikan sesuatu struktur atau reka bentuk. Kehadirannya mampu mengubah pandangan dan membentuk ilham seni bina serta karakter pada kediaman. Kelainan reka bentuk, keunikan pilihan material dan kesempurnaan gaya yang ditampilkan pastinya mengundang kehebatan yang diimpikan.

KETAHUI FUNGSI REKAAN GERBANG:

1. Struktur dekoratif untuk menutup bentuk 'beam' atau gelegar konkrit pada struktur binaan.

2. Menyambungkan dua ruang dan membuka laluan yang selaras dengan kadar kapasiti pengguna di dalam sesebuah ruang.

3. Dibina pada bahagian puncak sekitar 9 kaki - 10 kaki tinggi. Saiz tinggi ini adalah berdasarkan ketinggian dinding dan ditolak dengan saiz gelegar.

4. Reka bentuk gerbang mampu membentuk imej dan karakter bangunan serta ilham budaya seperti Islamik, Spanish, China, Mediterranean, Indian, Melayu, Inggeris dan lain-lain.

5. Pengunaan bahan lain seperti bata muka elok (bata hias), kayu dan lain-lain boleh diaplikasi sebagai penghias 'beam'.


PILIH GAYA ANDA

a. Penampilan Rustik dan Berseni

Sesekali mencuba kelainan pasti mencipta kehebatan pemandangan dekorasi dan reka bentuk kediaman. Bagi anda yang gemarkan kelainan, malah ingin tampil dengan rekaan gerbang berciri rustik, apa kata menjadikan rekaan ini sebagai inspirasi untuk mengindahkan kediaman.

* Gandingan material batu palimanan dan kayu adalah elemen rustik yang diperlukan.
* Pengunaan bahan-bahan natural dan mempunyai tekstur yang kasar mendefiniskan rekaan gerbang berciri rustik. Kombinasi dengan kayu yang mempunyai ira halus sangat bertepatan dengan rekaan ini.
* Penampilan rustik dan berseni ini sesuai berada antara ruang utama dan ruang makan, bagi memberi fokus dari arah pintu masuk.
* Sekiranya anda inginkan kelainan, reka bentuk gerbang ini tidak terhad kepada rekaan segi empat sahaja, anda boleh memilih untuk rekaan berbentuk bulat atau melengkung.

Gerbang Rustik dan Berseni


b. Ringkas Bergaya Tropika

Bila bercakap mengenai nilai urban, elemen seni dan garisan tidak pernah lepas lari daripada unsur yang menguatkan konsep tersebut. Malah seri dekorasi 'fusion' seperti ini cukup gah dan artistik. Bagi yang mempunyai citarasa tinggi pilihan gerbang yang ringkas sudah cukup kuat untuk menyerlahkan idea rekaan ruang.

* Bentuk empat segi yang diperkemaskan dengan struktur kayu.
* Selalunya menggunakan kayu cengal, resak atau jati jika mampu.
* Bersifat mesra ruang kerana memberi bukaan yang luas dan lebar serta tinggi.
* Bentuk visual seperti berada di dalam dua ruang yang cukup luas.


Gerbang yang mewujudkan suasana konsep tropikal

Gerbang di kediaman konsep moden

c. Sentuhan Eropah

Memasak dan menghidang dua kerja yang cukup remeh. Membawa hidangan ke ruang makan juga adakala cukup memenatkan. Pereka sejak zaman dahulu lagi telah melakarkan ilham untuk mempercepatkan kerja di dapur. Gerbang kecil yang seragam dengan semua gerbang utama sebenarnya menambah kehebatan seni bina kediaman. Keserasian dengan ruang dan memberi imej kedesaan Eropah yang 'comel'.

* Penggunaan bata muka elok rona jingga (bata hias).
* Selalunya digunakan pada ruang dapur berkonsepkan kedesaan Inggeris.
* Bentuk lengkung yang tidak keterlaluan memberi kesan pandang terus antara dua ruang, terutama ruang makan dan ruang dapur, atau ruang keluarga dan ruang makan.


Pastikan konsep hiasan dan gerbang yang ingin anda bina adalah selari


d. Era Kolonial

Bila diingatkan pada masa lalu, pereka cukup mementingkan kekuatan sesebuah seni bina. Faktor ini adalah kesan daripada peperangan dan tidak mahu sesebuah bangunan itu lenyap sebelum waktunya. Imbasan seni bina era Medieval dan Kolonial cukup kuat pengaruhnya di kalangan pereka. Di mana sahaja struktur ini akan diterapkan pada sekolah, gereja, hospital dan bangunan kerajaan. Namun kini ia boleh diaplikasikan di kediaman peribadi.

* Mendapat pengaruh gereja sekitar era kolonial.
* Strukturnya yang berlapis menampakkan binaan yang gah dan tegap.
* Peruntukan untuk membinanya melibatkan kos yang besar kerana struktur dan perinciannya yang halus, merangkumi pemilihan bata, lepaan konkrit dan kemasan berkualiti.
* Pilihan warna adalah putih, yang melambangkan era tradisional kolonial.






e. Moden Citarasa Kontemporari

Kekemasan ruang sebenarnya bermula daripada struktur seni binanya. Era 1940-an merupakan antara elemen rekaan yang semakin mendapat tempat di kalangan peminatnya. Binaan kayu yang dikenakan dengan kualiti kayu yang sama sememangnya menyerlahkan lagi nilai sesebuah ruang. Apatah lagi apabila gerbang turut dibalut dengan kemasan kayu mewah. Pastinya akan tampak hebat dan mengagumkan.

* Binaan gerbang ini adalah bertujuan untuk menutup 'beam' agar ruang tampil lebih kemas dan penampilan siling lebih menyerlah.
* Berfungsi untuk menghubungkan dua ruang utama dan memberikan keseragaman pada dekorasi.
* Pemilik tidak perlu meletakkan pemidang di antara dua ruang ini kerana struktur binaan sudah cukup menarik untuk membentuk karakter ruang.




f. Pengaruh Seni Bina Islamik

Seni bina bercirikan Islamik mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Rekaan yang penuh makna bukan sahaja mesra ruang tetapi menaikkan nilai estetika serta fungsi ruang sedia ada. Selain mudah dibina, penampilan ciri-ciri seni bina Islamik juga boleh diselaraskan dengan apa saja konsep pilihan anda. Nilai yang tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.

* Gerbang berbentuk Islamik ini memberi bukaan dengan lengkungan setengah bulatan penuh yang sempurna.
* Penampilan kubah atau gerbang seperti ini menjadikan ruang lebih gah dan hebat kerana rekaan ini hanya didapati pada struktur seni bina bangunan-bangunan besar seperti masjid dan colloseum.
* Bersifat mesra ruang kerana kedudukan dan lengkungannya yang tinggi.
* Sebagai pelengkap, rekaan ini boleh dipadankan bersama tiang roman atau ukiran konkrit untuk penampilan lebih menawan.







No comments:

Post a Comment