Pages

Thursday, 28 April 2011

Tahukah Anda? : Kontrak Binaan

Kontrak
  • Satu perjanjian yang dijalin di antara dua pihak atau lebih, yang boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

    Pengenalan

    Kontrak adalah satu perjanjian yang dijalin antara dua pihak atau lebih yang boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang. Perjanjian tersebut boleh dilaksanakan secara lisan, perbuatan atau yang paling baik secara bertulis. Perjanjian dalam kontrak meliputi antaranya, hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terlibat yang boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

    Asas kontrak adalah berdasarkan perundingan bebas, dimana pihak yang berkontrak bebas untuk berunding dan mewujudkan apa jua syarat-syarat (yang tidak melanggar undang-undang) yang mereka kehendaki tanpa sebarang paksaan, dorongan dan yang lain-lain. Walaubagaimanapun terdapat juga kontrak dimana sesorang tidak mempunyai pilihan untuk membuat perundingan bebas seperti kontrak untuk perkhidmatan bekalan elektrik dan telefon. Pilihan yang ada hanyalah, sekiranya ingin menggunakan perkhidmatan tersebut pengguna mestilah bersetuju dengan kesemua syarat-syarat kontrak yang ditetapkan. Kontrak yang berbentuk seperti ini dinamakan kontrak piawai (standard contract). Kontrak binaan mempunyai unsur-unsur kontrak piawai.

    Kepentingan dan Keutuhan Kontrak.

    Adalah penting sesuatu kontrak perlu kepada satu ikatan. Tanpa ikatan, pihak yang mungkir mungkin akan terlepas dari menunaikan tanggungjawabnya. Kedua-dua pihak yang berkontrak perlu tahu secara jelas akan hak dan tanggungjawab masing-masing. Dalam perniagaan contohnya, mengetahui hak dan tanggungjawab adalah keperluan dimana tanpa kontrak dan terma-terma yang jelas, seorang peniaga mungkin tidak akan selesa dan tenteram apabila membekalkan sesuatu barang kepada sesorang. Dengan adanya kontrak, jika berlaku kemungkiran peniaga berkenaan boleh memdapat remedi atau pampasan. Tujuan remedi atau pampasan ini ialah untuk mengembalikan semula hak sesorang yang dianiaya ke tahap yang sepatutnya mengikut persetujuan awal.

    Apabila kontrak telah terjalin ia tidak boleh diubah atau dirombak oleh sesiapa pun kecuali pihak yang berkontrak. Kedua-dua pihak yang berkontrak terikat dengan apa yang telah dipersetujui. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah berkontrak untuk melaksanakan sesuatu projek dengan harga yang merugikan disebabkan kesilapan semasa membuat pengiraan. Dia tetap terikat dengan harga tersebut dan bertanggungjawab menyiapkan projek berkenaan dengan harga yang telah dipersetujui. Dia juga tidak boleh meminta bantuan mahkamah untuk melepaskannya dari melakukan tanggungjawab tersebut. Dalam kes ini, pihak yang berhak dan boleh mengubah atau meminda persetujuan terhadap kos yang telah dimeterai hanyalah pihak yang satu lagi iaitu klien.

    Elemen-elemen Kontrak.

    Beberapa elemen perlu ada bagi membentuk suatu kontrak yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang. Tanpa elemen-elemen ini, kontrak yang dibuat mungkin tidak terikat dan tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang. Diantara elemen-elemen tersebut adalah seperti yang berikut:

     1.Tawaran.
    Tawaran adalah satu pengakuan atau persetujuan yang dibuat dengan hasrat ianya akan mewujudkan hubungan yang berkuatkuasa dari segi undang-undang apabila pengakuan tersebut diterima oleh pihak yang lain.

    Segala syarat-syarat yang terdapat di dalam tawaran tersebut apabila berlaku penerimaan akan menjadi syarat-syarat kontrak. Oleh itu adalah sangat penting segala syarat-syarat yang terdapat di dalam tawaran itu lengkap dan tiada kesamaran bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang akan timbul semasa pelaksanaan kontrak tersebut.

    2. Penerimaan
    Penerimaan adalah satu pengakuan persetujuan terhadap tawaran yang dikemukakan tanpa ada syarat-syarat tambahan. Penerimaan perlu dibuat dalam tempoh tertentu jika ditetapkan (contoh:tempoh sahlaku tender) atau dalam masa yang munasabah jika tempoh tidak ditetapkan. Penerimaan juga perlu dibuat dalam bentuk yang munasabah (contoh: surat setujuterima), mutlak dan tanpa syarat.



    3. Balasan
    Balasan adalah imbuhan, munafaat, pulangan atau keuntungan atau sebaliknya yang akan diperolehi atau dinikmati oleh mereka yang berkontrak. Dalam erti kata lain, balasan ini merupakan sesuatu yang akan diperolehi apabila kontrak tersebut lengkap terlaksana.

    Balasan hasil dari penawaran dan penerimaan ini mesti mempunyai nilai ekonomi. Tetapi bentuk balasan tersebut mestilah sesuatu yang tidak menyalahi undang-undang negara. Disamping itu balasan tidak semestinya memadai atau munasabah dengan janji yang perlu dilaksanakan. Sebagai contoh - Harga tender yang rendah oleh kontraktor yang memungkinkan beliau tidak mendapat keuntungan, sekiranya ditawarkan tanpa paksaan, juga dianggap sebagai balasan yang boleh diterima dan sah.

    4. Niat Atau Hasrat
    Pihak yang terlibat dalam kontrak mestilah mempunyai niat atau hasrat untuk sama-sama menjalinkan kontrak yang sah disisi undang-undang.

    5. Dilakukan Secara Rela/ Tanpa Paksaan
    Keinginan melaksanakan kontrak haruslah di dalam keadaan yang merelakan, tidak secara penipuan atau paksaan.

    6. Mengikut Undang-undang
    Kontrak yang dilaksanakan perlu menurut had atau lunas-lunas perundangan yang betul. Sebagai contoh, kontrak yang menjurus kepada perkara-perkara yang menyalahi undang-undang adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah.

    7. Kemampuan/ Boleh Dilaksanakan
    Kemampuan yang dimaksudkan di sini adalah kemampuan kedua-dua belah pihak (pihak yang menawar dan pihak yang menerima) melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti yang terkandung di dalam kontrak. Kontrak yang melibatkan pelaksanaan kerja-kerja yang mustahil untuk dilaksanakan adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah.

    8. Kapasiti
    Pihak yang ingin melaksanakan kontrak haruslah terdiri dari orang-orang yang boleh diambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Kanak-kanak di bawah umur, orang kurang siuman dan sebagainya adalah dikecualikan daripada terlibat di dalam sesetengah kontrak. Pihak yang hendak memeteraikan kontrak itu juga hendaklah diwakili oleh orang yang sesuai kapasitinya dan juga bertanggungjawab terus kepada kontrak tersebut.

    1 comment:

    1. bagaimana jika menandatangani perjanjian antara klien dengan kontraktor bagi membina rumah dalam perjanjian kontraktor mengatakan no roof beam required yang mana tidak diketahui oleh klien maksud dan kegunaan apa lagi faedahnya dan kontarktor mengatakan akan menggunakan stiffernes bagi mengantikan roof beam tetapi setelah perjanjian ditandatangani tiba-tiba klien telah mendapat maklumat bahawa roof beam lazimnya dibuat khas bagi keselamatn dan kualiti ketahanan. adakah kontrak boleh dibatalakan.

      ReplyDelete