KESELAMATAN DIRI SENDIRI.
Objektif yang utama dalam urusan keselamatan ialah mencegah kecederaan dan kehilangan nyawa. Oleh sebab itu, keselamatan diri sendiri patutlah diutamakan. Perkara-perkara yang harus diambil berat untuk menjaga keselamatan diri sendiri adalah seperti berikut:
a. Menjaga Kesihatan Diri Sendiri
Kesihatan merupakan faktor yang penting dalam menguruskan kerja dengan selamat. Jika seseorang pekerja kurang sihat atau uzur, dia tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam apa yang dilakukan. Kesihatan dari segi fizikal ialah tubuh badan pekerja, oleh itu seseorang pekerja mestilah cukup makan supaya tidak mengalami sebarang keuzuran. Kesihatan rohani pula hendaklah dikawal dari segi fikiran pekerja, tidak marah, tidak sedih atau berangan-angan semasa bekerja.
Pekerja mestilah sihat fizikal dan rohani |
b. Displin Semasa Bekerja
Displin adalah satu perkara yang sangat penting semasa bekerja. Arahan dan peraturan yang telah ditetapkan haruslah dipatuhi dan selalu berwaspada. Jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti menyimpan alat-alat tajam dalam saku, membiarkan paku yang telah digunakan berselerak, membuang sampah merata-rata dan sebagainya.
Pendek kata, berdisplin bermakna menanamkan tabiat-tabiat yang positif dalam kerjanya seperti menjaga kebersihan, mematuhi peraturan bekerja dan bekerjasama dengan pekerja lain. Tabiat yang positif dan sihat selalunya mengurangkan kemalangan serta meningkat produktiviti.
Bekerja dengan displin dan berdedikasi |
c. Pengetahuan
Sebelum melakukan sesuatu kerja, pekerja haruslah memahami bahan-bahan yang dikerjakan dan juga alat atau mesin yang digunakan. Tindak balas bahan-bahan terutamanya bahan-bahan kimia boleh mendatangkan kemalangan yang teruk begitu juga alat-alat teknologi tinggi.
Berpengetahuan dalam bekerja |
d. Pakaian
Pakaian yang sesuai hendaklah dipakai semasa bekerja. Pakaian yang koyak dan serebeh adalah punca kemalangan. Kasut atau but keselamatan yang mengandungi kepingan keluli di bahagian hadapannya adalah sesuai bagi mengelakkan sebarang kecederaan kaki. Capal dan sandal tidak harus dipakai semasa bekerja di tapak pembinaan atau bengkel.
Pakaian Keselamatan Di Tempat Kerja |
e. Perlindungan Mata
Apabila membuat kerja yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada mata seperti mengimpal atau mencanai, cermin mata keselamatan (safety goggle) atau pelindung muka hendaklah dipakai.
Goggle Keselamatan |
f. Perlindungan Kepala
Topi keledar hendaklah dipakai apabila berada di kawasan pembinaan terutamanya dalam pembinaan bangunan yang bertingkat-tingkat kerana barang-barang dari tingkat atas sering terjatuh ke bawah. Dengan memakai topi keledar, kecederaan kepada kepala dapat dikurangkan.
Topi Keselamatan |
g. Perlindungan Tangan
Sarung tangan dapat melindungi tangan daripada sebarang kecederaan, lebam, terbakar oleh bahan kimia dan sebagainya. Apabila membuat kerja-kerja seperti membentuk batang keluli , memindahkan bata dan sebagainya hendaklah memakai sarung tangan. Akan tetapi, jangan guna sarung tangan apabila bekerja dengan mesin yang bergerak seperti mesin canai dan mesin pelarik kerana sarung tangan mungkin tersangkut pada mesin dan mengakibatkan kemalangan.
Sarung Tangan Keselamatan |
h. Tali Pinggang Keledar
Apabila bekerja di tempat yang tinggi, seseorang pekerja itu hendaklah memakai tali pinggang keledar supaya dapat mengelakkan daripada terjatuh. Kaedah ini sangatlah mustahak kerana mengikut statistik, kebanyakan kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan ialah pekerja terjatuh dari tempat tinggi.
Tali Pinggang Keselamatan |
KESELAMATAN ORANG LAIN
Apabila sesuatu kerja dijalankan, keselamatan rakan sekerja dan orang lain yang berdekatan mestilah dipertimbangkan. Kawalan seperti berikut hendaklah dibuat:
a. Isyarat Dan Tanda Amaran
Isyarat dan tanda amaran hendaklah dipamerkan dengan terang pada tempat-tempat yang strategik di kawasan pembinaan supaya dapat dilihat oleh orang ramai.
Papan Tanda Keselamatan |
b. Pagar Kawasan Pembinaan
Kawasan pembinaan yang merbahaya seperti pengorekan peparit, pembinaan acuan yang tinggi, tempat menyimpan bahan-bahan, jentera dan sebagainya mestilah dipagarkan di sekelilingnya untuk mencegah orang ramai masuk ke kawasan ini.
Pagar Keselamatan Di Tapak Pembinaan (Hoardings) |
c. Memasang Jaring
Bagi pembinaan bangunan yang tinggi, jaring perlu dipasangkan di bahagian bawah, biasanya atas tingkat pertama atau tingkat kedua, di sekeliling bangunan untuk menahan bahan-bahan yang terjatuh dari atas.
Pemasangan Jaring Keselamatan Di Tapak Pembinaan |
d. Kawalan Pada Alat Dan Jentera Yang Rosak
Sebarang alat, jentera atau perkakas lain yang rosak hendaklah disimpan atau dibaiki. Tanda amaran hendaklah dipamerkan dengan jelas jika alat-alat tersebut tidak dapat disimpan. Laporan kerosakan mestilah dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab dengan serta-merta.
Penyelenggaraan Jentera Rosak |