Pages

Thursday, 18 August 2011

PERCUMA: Tips Memilih Tilam

3 Langkah Mudah Untuk Tidur Yang Sempurna Serta Selesa


Langkah 1:

"Berat dan Ketinggian"

Pilihlah tilam yang anda ingini dan pastikan sama ada anda inginkan tilam yang kukuh atau lembut. Setiap model telah dilabelkan dengan skala kekukuhan yang membantu anda dalam membuat keputusan ini. Tilam yang kukuh tidak semestinya bersesuaian dengan anda sebaliknya ia harus seimbang berat dan ketinggian anda. Secara umumnya, semakin berat anda, maka semakin kukuh dan utuhlah tilam yang harus anda gunakan.


Langkah 2:

"Posisi Tidur Juga Penting"

Kebanyakkan tilam yang ada pada masa kini dicipta untuk keselesaan semua posisi tidur individu. Mungkin posisi tidur anda tidak semestinya memenuhi ciri-ciri tilam yang anda pilih. Walaubagaimanapun, jika anda membuat kajian, pertanyaan dan pemilihan semasa membeli, pastinya anda mendapat ide jenis tilam yang benar-benar sesuai dengan posisi tidur kegemaran anda.


Langkah 3:

" Tilam Pilihan Anda"

Sekiranya anda ingin mempraktikkan empat cara tidur yang nyenyak dan sihat, anda boleh memilih tilam yang bersesuaian samada tilam spring, tilam spring berteraskan kayu, tilam foam dan lateks atau set asas tilam.

(i) Tilam Spring

- ia digunakan dengan bingkai katil yang berasingan. Bebanan disebarkan ke serata permukaan tilam serta mengelakkan tekanan tertumpu pada satu bahagian sahaja. Ia juga memberi lebih keselesaan kepada seluruh bahagian tubuh anda tanpa tekanan pada anggota tertentu yang boleh menyebabkan kecederaan pada saraf atau tulang.

(ii) Tilam Spring Berasaskan Kayu

- Mempunyai bingkai sokongan sendiri. Oleh itu ia tidak memerlukan bingkai katil tambahan. Bingkai yang kukuh pada sekeliling tilam menjadikannya boleh digunakan terus sebagai katil lengkap.

(iii) Tilam Foam Dan Lateks

- tilam jenis ini menyediakan tubuh anda dengan sokongan kukuh dan dalam masa yang sama memberikan 'layanan' serta 'alunan lembut'. Ia sesuai digunakan bersama lapisan sokongan boleh laras.

(iv) Set Asas Tilam

- dilengkapi tilam spring dan kaki yang disediakan membuatkan ia tinggi dan mudah untuk naik dan turun dari katil.


Tuesday, 16 August 2011

PERCUMA: Tips Memilih Dan Membeli Permaidani

Jangan ambil mudah persoalan pemilihan dan pembelian permaidani. Pastinya kita tidak mahu membeli permaidani yang mahal tetapi tidak berkualiti dan tidak tahan lama. Kini terdapat banyak pilihan permaidani daripada warna, saiz, corak dan ketebalan.  Ikuti beberapa panduan kaedah memilih dan membeli permaidani:



1. TINJAU

Harga permaidani berbeza-beza. Adalah bijak bagi anda jika dapat pergi ke beberapa buah kedai permaidani untuk membuat semakan harga dan mendapat tawaran harga berpatutan untuk permaidani yang sesuai.

2. HARGA

Ditentukan oleh jenis gentian yang digunakan, kaedah pengeluaran dan bagaimana permaidani tersebut berfungsi secara keseluruhannya. Ada jenis permaidani yang padat teksturnya. Permaidani yang padat dihasilkan daripada gentian yang padat. Dan, tentulah harganya lebih mahal.

3. GRED

Permaidani bergred berbeza sesuai untuk lokasi yang berbeza juga. Penggunaan permaidani yang sederhana sesuai diletakkan di dalam bilik tidur dan permaidani yang tahan lasak perlu diletakkan di tempat yang kerap digunakan seperti di anak tangga atau laluan masuk utama.

4. TINDANAN



Ketahanan hamparan permaidani turut ditentukan oleh kepadatan dan berat tindanan bulu atau sintetiknya. Tindanan pendek kebiasaannya terdapat pada permaidani untuk kegunaan lasak.

5. PELAPIK BELAKANG

Permaidani biasanya dilapik sama ada dengan bahan tenunan atau getah nipis. Bahagian belakang permaidani yang ditenun merupakan cara kerja pembuat permaidani profesional, manakala lapik belakang bergetah atau berspan merupakan hasil kerja amatur.

6. PETUNJUK HAMPARAN

Permaidani yang berkualiti tinggi dihasilkan dengan jenis dan jumlah gentian yang digunakan.

7. PASTIKAN ANDA MEMILIH PERMAIDANI YANG DIHASILKAN DARIPADA BAHAN SEMULA JADI

Bahan semula jadi ini terdiri daripada bulu biri-biri atau campuran dengan sintetik seperti nilon.

8. PERMAIDANI TENUNAN

Bulu biri-biri adalah yang termahal tetapi menampilkan kemewahan sejati. Bagaimanapun, ia tetap akan dicampurkan dengan bahan sintetik seperti nilon dengan nisbah 80:20 demi ketahanannya.

9. JENIS MATERIAL


Bahan sintetik nilon sangat tahan lama dan nilon yang berkualiti akan menyebabkan harga permaidani menjadi mahal. Akrilik hampir menyerupai tenunan bulu biri-biri tetapi sukar dibersihkan. Poliester agak murah dan biasanya digunakan untuk menghasilkan permaidani kesat. Rayon lebih murah, namun kurang berkualiti. Jika anda mencari permaidani murah dengan bahan campuran sintetik, pilihlah permaidani yang menggunakan polypropylene. Ia tahan lama dan tidak serap air.

10.KAEDAH PENGELUARAN


Permukaan atas dan bawah permaidani adalah sama. Jenis tindanan bulu atau bahan sintetik perlu diperhatikan sama ada ia licin, pintalan yang tidak dipotong, pintalan panjang dan campuran.

11. JENIS LAPISAN BAWAH

Kuailiti lapisan bawah yang berkualiti sangat penting untuk permaidani tenunan. Alas permukaan lantai anda dengan kertas sebelum membentangkan permaidani yang berlapik getah dibawahnya.

12. ELAKKAN MEMBENTANGKAN.....

Permaidani yang berlapik getah atau span pada ruang atau permukaan yang lasak penggunaannya seperti tangga dan laluan masuk utama.

13. ELAKKAN JUGA MEMBENTANGKANNYA DI LANTAI YANG SENTIASA LEMBAP.

14. UJI PELAPIK

Untuk menguji kualiti permaidani berlapik getah, gosok pelapik menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Sekiranya ia mudah renyuk atau kusut, itu menunjukkan ia dalam kategori kualiti pertengahan.

15. Permaidani tebal biasanya menggunakan gentian jut atau bulu haiwan atau campuran kedua-duanya. Bulu binatang biasanya lebih kuat dan tahan lasak selain rasa lembut apabila memegangnya.

16. TANYA DIRI SENDIRI

Sebelum membeli permaidani, anda perlu tanya diri sendiri soalan berikut:

  • Bagaimana ruang tersebut akan digunakan?
  • Adakah penggunaannya nanti lasak atau tidak?
  • Adakah ruang tersebut menjadi ruang tempat tumpuan semua ahli keluarga?
  • Adakah ruang tersebut merupakan laluan masuk utama dan menerima pancaran terik matahari?

17. Ketika hendak membeli permaidani untuk ruang yang sibuk dan penggunaan lasak, PASTIKAN ANDA MEMBELI PERMAIDANI TERBAIK dan mampu dibeli. Perhatikan panduan penggunaan dan tahap kualiti di belakang permaidani. Kebiasaannya panduan pembelian berdasarkan skala 1 hingga 5. Skala 5 dan 4 adalah tahap yang paling baik.

18. WARNA


Pemilihan warna bergantung kepada ruang dan pilihan peribadi. Permaidani hadir dalam pelbagai warna, corak dan tekstur. Pastinya anda mahukan warna yang sesuai dengan elemen hiasan kediaman untuk mencipta persekitaran idaman. Sebagai contoh, permaidani berwarna beige atau pasir mampu membantu ruang yang kecil kelihatan lapang. Warna-warna semula jadi seperti biru, hijau tua, merah kuartz dan warna batu-batuan semakin digemari ramai.

19. KOS

Peruntukan perbelanjaan dan keperluan merupakan elemen utama pemilihan permaidani atau ambal. Terdapat pelbagai tawaran harga, namun tanyakan pada diri anda berapa lama kah anda ingin menggunakan permaidani tersebut sebelum menggantikannya? Permaidani bergred tinggi boleh bertahan untuk tempoh yang lama.

20. TEKSTUR DAN CORAK

Untuk mencantikkan lagi ruang kediaman, pertimbangkan membeli permaidani bercorak dan bertekstur. Kedua-dua ciri ini akan melengkapkan lagi penampilan dan konsep ruang.

Permaidani bercorak dan bertekstur




Monday, 15 August 2011

PERCUMA: Tips Ruang Balkoni Dan Laman

Kehadiran sebuah taman hijau yang kecil di kediaman mendekatkan anda dengan alam semula jadi. Peranannya untuk mengurangkan ketegangan minda dan mampu menjadi terapi yang menenangkan. Ruang tanah yang sempit atau balkoni bersaiz kecil jangan dipersia-siakan. Berikut adalah beberapa tips untuk membina halaman kecil dan balkoni menarik.


* Walaupun ruang kecil, anda masih boleh mewujudkan elemen air pada halaman atau balkoni. Caranya ialah dengan memilih binaan bersaiz kecil. Untuk diletakkan di bahagian balkoni, anda perlulah memilih elemen daripada material plastik atau kayu yang tidak terlalu berat.

* Elakkan memilih peralatan seperti kerusi halaman atau buaian yang bersaiz dempak.



* Pilihlah tanaman berpasu yang kecil agar balkoni atau halaman tidak nampak sesak namun masih kekal menarik.


* Pasu gantung adalah alternatif terbaik sebagai hiasan di ruang balkoni yang sempit. Ia menjimatkan ruang untuk menempatkan pasu-pasu yang bersaiz besar.

Penggunaan rak juga dapat menjimat ruang sempit balkoni

SARANAN HIASAN:

- Berkreatiflah dengan mewujudkan suasana dramatik di waktu malam di balkoni kecil anda. Pasangkan lampu pada bahagian belakang pasu-pasu atau 'water feature' anda. Bayang-bayang yang terhasil akan mewujudkan mood yang menarik dan 'cosy'.

Unsur 'Water Feature' di ruang balkoni.


Sunday, 14 August 2011

PERCUMA: Tips Dinding Luar : Adaptasi Warna Dan Pengaruh Konsep Siri 4

Artistik dan estetik

Konsep Kediaman:
Moden Kontemporari

Warna:
Biru dan merah jambu, hijau dan ungu, merah jambu dan hijau, biru dan kuning cair.



Tips Pemilihan Warna Dinding Luar.

* Gaya artistik menampilkan ciri-ciri seni dan estetik. Nilai-nilai yang ditonjolkan ini perlu diperkukuhkan dengan pilihan warna yang sesuai dan tepat. Malahan, paduan warna biru dan merah jambu memberi suntikan menawan dalam menampilkan keunikan dan kelainan sesebuah kediaman.

* Mungkin tidak ramai yang berani bermain dengan gabungan warna-warna ini, namun kesesuaian pada reka bentuk kediaman adalah perlu. Sebaiknya pilih dinding atau dinding fokus di bahagian luar rumah untuk dilatari gabungan warna ini. Dinding fokus yang dipilih akan menjelmakan kelainan, menjadi titik fokus pandangan pada bahagian luar.



* Selain gabungan warna biru dan merah jambu, paduan warna hijau dan ungu, merah jambu dan hijau serta biru dan kuning cair adalah antara pilihan hebat. Sesuaikan pilihan warna-warna ini dengan konsep dalaman kediaman yang ingin ditonjolkan.

* Penggunaan warna-warna ini bukan sahaja menarik, tetapi dapat membantu mewujudkan suasana harmoni dan damai pada persekitaran.

Mainan Warna Artistik dan Estetik

Saturday, 13 August 2011

PERCUMA: Tips Dinding Luar : Adaptasi Warna Dan Pengaruh Konsep Siri 3

Oriental



Konsep Kediaman : Inspirasi Oriental

Warna: Merah jingga, kuning, jingga terang, coklat terang

Tips Pemilihan Warna Dinding Luar

* Konsep Oriental diinspirasikan daripada budaya dan adat sesebuah masyarakat. Ilham ini seterusnya menjadi inspirasi pada warna sebagai simbolik budaya tersebut. Pilihan warna merah jingga adalah sinonim dengan konsep Oriental.


* Pilihan warna merah jingga mampu menghidupkan semangat dan menyuntik kehangatan. Warna ini juga menjadikan kediaman tampak lebih ceria dan berseri.


* Kenal pasti tonasi warna merah yang menjadi pilihan. Sebaiknya, elakkan pemilihan warna merah kusam yang mampu mencacatkan penampilan dinding luar kediaman.

* Warna-warna jingga terang, kuning dan coklat terang adalah antara pilihan terbaik untuk menonjolkan konsep Oriental pada pandangan luar kediaman.


* Sebolehnya gunakan warna terang ini pada dinding lain bagi memberi penekanan kepada kekuatan warna-warni Oriental ini.


Friday, 12 August 2011

PERCUMA: Tips Dinding Luar : Adaptasi Warna Dan Pengaruh Konsep Siri 2

Urban Moden

Tips Pemilihan Warna Dinding Luar: 


* Ketahui rekaan atau struktur seni bina kediaman sebelum memilih paduan warna kontra. Bagi pilihan warna kelabu gelap dan jingga ini, kediaman berkonsep moden dan urban adalah paling sesuai.

Struktur seni bina ultra moden dengan padanan rona jingga-kelabu

* Pastikan memilih cat yang sesuai digunakan untuk bahagian luar. Seri kediaman lebih menyerlah dengan garapan warna kelabu gelap bersama rona jingga pekat. Kombinasi antara kedua-duanya turut mencerminkan kekuatan pada seni bina dan reka bentuk sesebuah kediaman.

Kediaman urban dengan padanan warna kelabu gelap

* Pemilihan warna-warna lain yang bersesuaian digunakan pada kediaman berciri moden ialah warna coffee, coklat dan warna-warna tanah atau rona kusam yang ditampilkan bersama rona kontra lain.

* Kawasan persekitaran juga perlu diberi perhatian. Sekiranya kediaman terletak di kawasan bandar, penggunaan warna-warna terang dapat membantu menyerlahkan lagi penampilan kediaman. Sebaliknya, bagi kediaman yang terletak di pinggir hutan, atau di kawasan perkampungan, rona-rona kesam atau suram mampu memberi ketenangan sepenuhnya.

Lokasi kediaman juga memainkan peranan dalam penentuan rona warna dinding luar anda 


Thursday, 11 August 2011

PERCUMA: Tips Dinding Luar : Adaptasi Warna Dan Pengaruh Konsep Siri 1

Bali Nusantara

Tips Pemilihan Warna Dinding Luar:



- Jingga adalah warna popular yang kian menjadi pilihan untuk bahagian dinding luar rumah. Terang, cerah dan menyerlah menjadikan kelebihan warna ini untuk tampil lebih menonjol.

Adunan warna jingga dan landskap

- Warna jingga selalunya dikaitkan dengan konsep Bali Nusantara. Rona jingga sebagai simbolik rona tanah ini melambangkan keaslian budaya Bali itu sendiri. Manakala jalinan bersama rona kelabu adalah diilhamkan daripada warna-warna pasir di kawasan laut Bali. Keseimbangan ini menguatkan konsep Bali yang cintakan kedamaian dan alam semula jadi.

- Gabungan warna-warna lain yang boleh menjadi pilihan ialah coklat dan hijau, dan kelompok warna-warna tanah yang semestinya mencipta kedamaian dan ketenangan.

Terang, cerah dan menyerlah

- Penggunaan bahan lain, selain tonasi warna pada permukaan dinding, seperti suntikan elemen kayu dan batu dapat memperkukuhkan gaya Bali. Begitu juga dengan struktur dan rekaan seni dan rekaan seni bina kediaman itu sendiri.

Gandingan element batu dan kayu menyemarakkan konsep tropikal


Wednesday, 10 August 2011

PERCUMA: Tips Gemilang Warna Di Dapur

Warna memainkan peranan penting dalam menaikkan seri setiap ruang pada kediaman. Tidak kira sama ada memadai dengan sekadar sedikit sentuhan warna atau suntikan menyeluruh memenuhi ruang, warna sememangnya punya peranan 'besar' dalam menata hias kediaman.

WARNA dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan utama. Kategori pertama ialah spektrum memberi persekitaran sejuk yang terdiri daripada biru, hijau dan kelabu. Kumpulan kedua pula terdiri daripada warna merah, jingga dan kuning, memberi kesan 'panas' pada ruang. Bagi kategori ketiga pula, warna ungu gelap, merah tua dan hitam mewakili kumpulan yang memberi kesan lebih dramatik kepada ruang. Selain kumpulan yang disenaraikan di atas, satu lagi kategori tergolong dalam jenis warna pastel iaitu 'beige', merah samar, biru lembut dan kuning pucat.

Semasa mencampurkan warna bagi menambah pilihan asas, ia perlulah merujuk kepada tiga warna utama, iaitu merah, biru dan kuning. Tiga warna utama ini bakal bertindak sebagai asas untuk pencampuran membentuk skim baru bagi pemilihan warna. Sebagai contoh, jika anda mencampurkan biru dan kuning, warna hijau akan terhasil. Ia menjadikan ketiga-tiga warna ini terletak dalam satu skim warna yang sesuai digabungkan serta dipadankan bersama. Jika mahukan warna jingga, pencampuran merah dan kuning adalah jawapannya. Oleh itu gabungan jingga, merah dan kuning adalah padanan yang harmoni untuk digandingkan.

Selain kaedah pencampuran warna yang dapat membantu dalam memilih padanan yang sesuai, pemilihan dari rona senada (rangkaian daripada jenis gelap sehingga terang) juga boleh diambil kira. Penggunaan warna daripada rona gelap ke terang daripada jenis sama disebut sebagai 'Tone to Tone'. Sebagai contoh, warna permukaan pintu dipilih daripada warna kelabu sederhana gelap, bingkai pada pintu pula adalah daripada jenis arang (lebih gelap). Bagi menyesuaikan pemilihan warna bagi keseluruhan ruang, rona senada iaitu daripada rangkaian granit boleh digabungkan untuk pemilihan kaunter kerja, manakala kemasan dinding menggunakan warna kelabu lembut dengan rona lebih terang.

Bagi melengkapkan pemilihan konsep warna, penggunaan peralatan daripada material keluli tahan karat dan aluminiu, selain rangkaian kemasan fabrik rona tanah atau natural juga terracota adalah paling sesuai.


MERAH: Gelombang Bertenaga

Menyerlah tanpa perlu berselindung. Tampil berani dan bertenaga. Warna merah 'tidak akan pernah lapuk dek hujan, malah tidak juga lekang dek panas'.



BIRU: Percikan aqua yang menyejukkan

Bukan sekadar percikan aqua, malah ia menggambarkan langit yang membiru. Sentiasa tampil bersahaja seolah-olah memberi ucapan selamat datang dan menyejukkan mata yang memandang.



JINGGA: Terang yang girang

Umpama bakul yang dipenuhi buah oren segar, ia menyuntik warna terang lagi girang. Jingga tampil bergaya memberi inspirasi girang memenuhi ruang.



HIJAU: Kesegaran yang menenangkan

Mahukan suasana santai umpama berkelah? Pilihan warna hijau tentu sesuai memenuhi ruang dapur anda. Sentiasa tampil segar, tentunya 'jiwa' yang kacau telah dapat ditenangkan.



Tuesday, 9 August 2011

PERCUMA: Tips Menghias Dinding Rumah Dengan Teknik Air-Brush

Menggunakan berus dan penggelek ada kalanya hanya membawa kesan membosankan. Apa kata anda menggunakan teknik 'air brush' sebagai alat untuk mengecat. Kelebihannya anda boleh mendapatkan rona yang menarik. Daripada gelap hingga ke terang. Sekiranya kediaman anda agak gelap, rona merah mampu membantu. Pilih dinding yang bertentangan dengan tingkap agar ianya menjadi fokus mata.



Teknik 'Airbrush' memberikan kelainan kepada ruang kediaman anda






Monday, 8 August 2011

Page Testimoni Pelanggan

Kepada semua pengunjung dan pembaca blog EMES Engineering Resources, pihak kami telah mengambil inisiatif untuk meletakkan testimoni-testimoni dari klien dan pelanggan-pelanggan kami berhubung dengan kerja-kerja yang telah kami laksanakan. Disamping itu pihak EMES Engineering Resources juga berharap dengan adanya testimoni-testimoni ini para bakal-bakal pelanggan kami akan merasa lebih yakin dan percaya dengan hasil dan mutu kerja yang kami laksanakan. 

Bak kata pepatah "Tak Kenal Maka Tak Cinta"






Kami sertakan beberapa testimoni terbaru yang telah kami terima, selebihnya adalah boleh dapatkan di link page http://emesengineering.blogspot.com/p/testimoni-pelanggan.html 


Sunday, 7 August 2011

Tahukah Anda? : Suis Elektrik

Suis adalah peranti mekanikal yang boleh menyambung atau memutuskan litar secara manual atau secara perantaraan seperti tali. Terdapat pelbagai bentuk dan jenis suis yang dibuat dalam pelbagai kadaran arus mengikut kesesuaian penggunaannya. Bekalan talian fasa tunggal lazimnya menggunakan suis jenis kutub tunggal seperti:

* Suis satu hala

* Suis dua hala

* Suis perantaraan



Suis yang digunakan untuk mengawal lampu, kendaliannya memutus atau membuka suis secara celah mikro. Sesentuhnya membuka dengan jarak yang kecil supaya tidak mengeluarkan bunyi yang kuat ketika ditutup dan tidak menggeluarkan sela bunga api.

Suis dibuat dalam pelbagai bentuk yang kegunaannya disesuaikan mengikut sistem pendawaian. Bentuk binaan suis mengikut sistem pendawaian adalah seperti berikut:

(a) Suis jenis permukaan

(b) Suis jenis sebahagian tersembunyi

(c) Suis jenis tarik

(d) Suis jenis khusus untuk sistem konduit

Saturday, 6 August 2011

Tahukah Anda? : Faktor-faktor Pemilihan Sistem Pendawaian Elektrik

Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi Sistem Pendawaian Elektrik adalah seperti yang berikut:


(a) Jenis Pembinaan Bangunan - bagi menentukan penghalaan pendawaian, ikatan dan penamatan.

(b) Kebolehlenturan Kepada Sistem - boleh menukar kedudukan bagi peralatan dan penghalaan seperti mesin dan juga bangunan sementara.

(c) Suhu Ambien - mengambil kira jenis pemasangan jika di dalam bilik dandang atau pemasangan perawatan haba.

(d) Kaedah Pemasangan - perlindungan ke atas keperluan kemungkinan berlaku kerosakan mekanikal dan ketinggian tempat bekerja.

(e) Kekemasan Pemasangan - mengenal pasti sama ada pemasangan sesuai secara sistem pendawaian permukaan atau pendawaian tersembunyi.

(f) Ketahanlasakan - jangka tempoh hayat pemasangan.

(g) Ekonomi - kos keseluruhan sesuatu pendawaian dan kemampuan pembiayaan kewangan.

(h) Aspek Keselamatan - laluan penghalaan pemasangan mengambil kira situasi dan keadaan yang dapat menghindarkan daripada kemungkinan bahaya.

Ambil kira aspek keselamatan dalam pemilihan pendawaian elektrik

Bagi pemasangan sistem pendawaian kekal, pendawaian hendaklah mengambil kira segala aspek perlindungan daripada kerosakan mekanikal, haba, api, unsur-unsur kekaratan ke atas pendawaian dan sebagainya.

Maklumat berkaitan dengan pemilihan saiz kabel, jenis penebatan, sarung dan kaedah sistem yang patut digunakan, kadaran arus yang dibenarkan dan kadaran voltan susut diberikan dalam Jadual Pendawaian Peraturan Pemasangan.